Gantung pesawat Boeing 737 MAX 8 keputusan tepat
KUALA LUMPUR - Keputusan menggantung semua penerbangan keluar masuk pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 ke negara ini adalah tepat serta perlu dilaksanakan sehingga punca sebenar tragedi yang berlaku di Ethiopia diketahui, kata penganalisis dan pakar geostrategis Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan.
Beliau berkata, walaupun tindakan penggantungan itu akan memberi kesan atau kesulitan kepada syarikat-syarikat penerbangan serta pengguna, namun langkah berjaga-jaga oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) itu sangat wajar memandangkan ia melibatkan soal risiko keselamatan.
"Apa pun, faktor risiko yang melibatkan nyawa perlu menjadi keutamaan kerana kita tidak tahu lagi apa masalah dan punca sebenar yang menyebabkan pesawat itu terhempas.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia gantung serta-merta operasi Boeing 737 MAX
"Selagi belum ditemui apa yang berlaku di Ethiopia maka sebolehnya kita perlulah mengambil langkah berjaga-jaga buat masa ini," katanya ketika dihubungi Bernama.
CAAM semalam mengeluarkan arahan menggantung penerbangan pesawat itu di negara ini ekoran tragedi pesawat Ethiopian Airlines 737 MAX 8 terhempas ketika dalam penerbangan ke Nairobi dari Addis Ababa, mengorbankan kesemua 157 penumpang dan anak kapal pada Ahad lepas.
Empat bulan lalu, iaitu pada 29 Oktober sebuah lagi pesawat sama milik Lion Air dari Indonesia turut terhempas mengorbankan 189 penumpang dan anak kapal, sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
CAAM turut mengesahkan tiada mana-mana syarikat penerbangan Malaysia menggunakan pesawat Boeing 737 MAX 8 dalam operasi mereka.
Azmi berkata, walaupun syarikat Boeing memberi jaminan pesawat jenis Boeing 737 MAX itu selamat digunakan, tetapi langkah proaktif perlu diambil kerana hakikatnya sudah dua kemalangan serupa melibatkan kapal terbang model yang sama.
"Maka keputusan CAAM itu amat wajar. Ia juga selari dengan beberapa buah negara lain seperti Singapura, China, Indonesia dan Australia, yang telah menggantung operasi Boeing 737 MAX itu ekoran tragedi terbaharu membabitkan pesawat berkenaan," tambahnya.
"Untuk tahu sampai bila arahan penggantungan itu perlu dikuatkuasakan, paling utama hasil analisis ke atas kotak pesawat Ethiopian Airlines perlu diketahui terlebih dahulu. Daripada situ baru kita boleh ketahui sama ada kapal terbang jenis itu selamat atau tidak untuk digunakan," katanya.
Menurut Azmi berdasarkan dua kejadian nahas membabitkan pesawat sama, secara zahirnya pesawat itu berkemungkinan bermasalah daripada segi mengekalkan altitud sewaktu berlepas dan mungkin juga latihan juruterbang tentang pesawat dan pengendaliannya kurang sempurna. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!