Ismail Sabri ucap selamat bersidang kepada perwakilan UMNO Bahagian
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan yang menghadiri 191 Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di seluruh negara.
Menerusi perkongsiannya dalam laman Facebook, beliau berkata, sebagai parti yang mengutamakan agenda rakyat, UMNO akan terus menjadi wadah anak bangsa yang memayungi kesejahteraan serta kejayaan negara.
"Bersama kita membulat tekad, agar parti keramat UMNO sentiasa dipelihara dengan semangat menjunjung kepentingan rakyat, agama, bangsa dan tanah air tercinta," kata Ismail Sabri.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 8 Disember lepas memutuskan untuk mengadakan mesyuarat empat peringkat UMNO iaitu Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerak Puteri dan UMNO Bahagian pada 11, 12, dan 18 Disember di seluruh negara.
MKT UMNO juga memutuskan Perhimpunan Agung UMNO 2021 diadakan pada 13 hingga 15 Januari depan secara hibrid. -- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!