Kecederaan hentikan langkah Zii Jia buru gelaran juara dunia

Zii Jia terpaksa menarik diri pada set ketiga perlawanan suku akhir akibat kecederaan pada kaki kanannya. - Foto BAM
Zii Jia terpaksa menarik diri pada set ketiga perlawanan suku akhir akibat kecederaan pada kaki kanannya. - Foto BAM
A
A
A

HASRAT perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia untuk melabuh tirai kalender badminton tahun ini dengan mencipta keputusan positif pada Kejuaraan Dunia di Huelva, Sepanyol tidak kesampaian apabila kecederaan sekali lagi menunjukkan pemain itu jalan keluar dari kejuaraan tersebut.

Pada perlawanan suku akhir itu, Zii Jia yang berstatus ranking ketujuh dunia terpaksa akur kemaraannya pada kejuaraan edisi Huelva 2021 dinoktahkan bintang Denmark, Anders Antonsen dalam tempoh 48 minit akibat kecederaan dialami pemain berusia 23 tahun dari Alor Setar tersebut.

Pada set pertama Antonsen berusia 24 tahun kelahiran Aarhus, Denmark ternyata terpaksa akur pengalaman lebih berpihak kepada Zii Jia apabila tunduk mengalah 12-21.

Bagaimanapun Antonsen bangkit pada set kedua untuk mencipta kemenangan 21-8 selepas kecederaan pada kaki kanan Zii Jia mula menjejaskan rentak pemburuan kejuaraan juara Seluruh England tersebut.

Pada set ketiga, Zii Jia yang terus dihimpit ketidakselesaan berikutan kecederaan itu terus ketinggalan apabila Antonsen konsisten mengutip mata yang akhirnya menyaksikan pemain negara mengalah apabila menarik diri pada ketika lawannya mendahului pada kedudukan selesa 11-1.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!