Wakil tiga parti cari formula agihan kerusi PRU15

Mohd Yazid
Mohd Yazid
A
A
A

KUANTAN - Wakil tiga parti dalam Perikatan Nasional (PN) Pahang akan berbincang untuk mencari formula terbaik dalam proses agihan kerusi yang bakal ditandingi PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Lt Kol (PA) Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, tarikh perbincangan antara wakil Bersatu, Pas dan Gerakan itu belum ditetapkan, namun dijangka selepas Perhimpunan Agung Bersatu yang dijadualkan pada Sabtu dan Ahad Ini.

Menurutnya, melalui pertemuan secara tidak rasmi sebelum ini, ketiga-tiga parti bersetuju untuk menghantar wakil dalam perbincangan itu.

"Perbincangan ini perlu kerana setiap parti pasti ada pandangan sendiri," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohd Yazid yang juga Naib Pengerusi PN Pahang berkata, tujuan perbincangan itu untuk melihat formula terbaik dan mencari titik kesefahaman sebelum sebarang keputusan dibuat bagi menghadapi PRU15.

Sebelum ini, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyatakan hasrat PN Pahang untuk bertanding di semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada PRU15.

Bagi tujuan itu, beberapa siri pertemuan tidak rasmi antara ketiga-tiga parti telah diadakan termasuk rundingan awal berkaitan agihan kerusi.

Melalui pertemuan itu ketiga-tiga parti bersetuju menghantar dua wakil untuk perbincangan peringkat seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Yazid berkata, gerak kerja penubuhan cawangan dan pendaftaran ahli baharu di setiap bahagian Bersatu di negeri ini terus berjalan sepanjang masa.

"Cawangan terus bertambah begitu juga dengan ahli-ahli baharu.

"Kita sasarkan dengan memberi keutamaan penubuhan cawangan bagi setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!