TMJ tunai hasrat kanak-kanak sakit jantung terbalik ke Legoland

Abd Rahman memeluk Mohd Adam Amsyar yang mengidap penyakit jantung terbalik di Kampung Parit Haji Ahmad, Pontian.
Abd Rahman memeluk Mohd Adam Amsyar yang mengidap penyakit jantung terbalik di Kampung Parit Haji Ahmad, Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Hasrat seorang kanak-kanak yang menderita penyakit jantung terbalik atau Mitral Valve Atresia mahu ke Legoland dekat sini sebelum hayatnya berakhir meruntun hati Tunku Mahkota Johor.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tersentuh dengan impian Mohd Adam Amsyar Abd Rahman, 9, berkenan merealisasikannya dengan menanggung segala kos perbelanjaan untuk ke taman tema itu.

Kegembiraan tersebut dikongsikan Tunku Mahkota Johor dengan memuat naik tangkap layar perbualannya berhubung impian kanak-kanak tersebut dalam Instagram miliknya.

Mengikut perbualan dalam tangkap layar itu, seorang individu memberitahu Tunku Ismail bahawa dia akan menghubungi bapa kanak-kanak itu, Abd Rahman Ahmad, 47, selain sudah mengatur pergerakan, pembelian tiket dan penginapan kanak-kanak tersebut untuk ke Legoland.

"Bayar semua sekali keperluan anak ini. Saya tanggung," balas Tunku Ismail dalam tangkap layar perbualan itu dalam Instagram miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN:Bapa tunggal cekal jaga anak derita jantung terbalik

Individu tersebut turut memaklumkan kepada Tunku Ismail bahawa Pegawai Daerah Pontian sudah mengatur perjalanan kanak-kanak terbabit bersama keluarganya ke Legoland selain sedang meneliti kos lain untuk dibantu.

Mohd Adam Amsyar yang tinggal di Kampung Parit Haji Ahmad di sini menderita penyakit itu sehingga menyebabkan dia sering sesak nafas serta keletihan.

Mitral Valve Atresia adalah kecacatan jantung kongenital yang amat jarang berlaku dan menyebabkan injap mitral jantung tidak dapat berfungsi dengan betul.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, bapanya, Abd Rahman berkata, penyakit Mohd Adam Amsyar hanya dapat dikesan ketika usianya tujuh tahun dengan pakar meramalnya tidak mempunyai jangka hayat yang panjang.

Dia yang juga bapa tunggal berkata, doktor pakar hospital awam yang merawat anaknya memaklumkan penyakit itu bukan sahaja amat jarang berlaku, malah hanya tiga pesakit termasuk anak bongsunya dikesan menderita penyakit berkenaan di negara ini.

"Penyakit jantung terbalik Adam dikesan doktor ketika usianya tujuh tahun selepas dia kerap sesak nafas, bengkak di bahagian muka serta anggota badan dengan tubuhnya akan menjadi kebiruan.

"Apa yang lebih membuat saya sedih apabila doktor memaklumkan tidak dapat melakukan pembedahan bagi membetulkan keadaan jantung Adam kerana amat merisikokan nyawanya.

"Saya sebak apabila doktor menyatakan tiada apa-apa yang dapat dilakukan dan berpesan supaya sering datang ke hospital untuk melakukan pemeriksaan susulan selain menjaga Adam dengan baik, jangan biarkan dia keletihan dan sentiasa menggembirakannya," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Adam Amsyar melahirkan keinginannya menjejakkan kaki ke Legoland sebelum hayatnya berakhir.

"Saya ada beritahu ayah teringin ke Legoland di Johor Bahru sebelum akhir hayat saya dan ayah berjanji bekerja lebih gigih bagi mencari wang untuk bawa saya ke sana nanti.

"Kalau tak dapat pergi Legoland pun tak apa, sebab dapat bersama-sama ayah pun dah gembirakan hati saya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!