Banjir terburuk landa Taman Sentosa Klang
SHAH ALAM - Hujan berterusan dalam tempoh 24 jam sejak pagi Jumaat menyebabkan rumah penduduk di Taman Sentosa Klang di sini dilanda banjir kilat.
Penduduk mengakui kejadian banjir itu paling buruk berlaku di kawasan taman perumahan berkenaan.
Seorang penduduk, Nurul Azuanita Muhamad Ridzuan, 26, berkata, air mula memasuki rumahnya pada jam 1 pagi Sabtu.
"Saya dan suami memang tidak tidur malam sejak semalam (Jumaat) sebab terlalu sibuk memindah dan mengalihkan barang ke tempat selamat.
"Air mula naik dari halaman rumah dan kemudian terus memenuhi keseluruhan rumah sebelum kembali surut jam 7 pagi tadi (Jumaat)," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Nurul Azuanita mendakwa kejadian banjir itu paling teruk berlaku disebabkan longkang utama tersumbat dan air tidak dapat mengalir keluar ke saliran utama," katanya.
Seorang penduduk, Nuratikah Mohd Nazeri, 25, berkata, dia yang menetap bersama suami dan dua anak terkejut apabila rumah sudah digenangi air setinggi 0.2 meter.
Jelasnya, mereka sekeluarga baharu sahaja berpindah ke taman perumahan itu sejak Oktober lalu.
"Jiran memaklumkan taman perumahan ini tidak pernah banjir dan ini kejadian paling buruk berlaku di sini," katanya.
Katanya, pada masa ini dia dalam keadaan berjaga-jaga berikutan bimbang haiwan berbisa menyelinap masuk ke dalam rumah.
"Saya memang tidak tidur malam kerana ular atau lipan tambahan pula dua anak saya masih kecil berusia dua tahun dan enam bulan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Banjir kilat di Pelabuhan Klang, air naik hampir satu meter
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!