208 atlet dapat kenaikan elaun

Syed Saddiq pada sidang media mengenai perkembangan terkini Program Latihan Atlet Negara di Kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
Syed Saddiq pada sidang media mengenai perkembangan terkini Program Latihan Atlet Negara di Kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SERAMAI 208 atlet bakal menikmati kenaikan kadar elaun berdasarkan penyelarasan semula Skim Elaun Latihan di bawah program latihan atlet kebangsaan yang baharu.

Di bawah skim elaun latihan itu juga, seramai 242 atlet akan menerima kadar elaun yang sama, 188 atlet akan menerima kadar elaun asas atlet dan tujuh atlet akan menghadapi penurunan kadar elaun atas sebab pertukaran status atlet dari sepenuh masa kepada separuh masa dan diberi peluang kedua untuk meningkatkan prestasi.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata skim Elaun Latihan yang baharu ini bertujuan untuk memastikan atlet sentiasa berada pada tahap pretasi yang terbaik dengan penilaian akan dibuat setiap enam bulan oleh Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian.

“Kementerian Belia dan Sukan berpandangan bahawa kebajikan atlet menjadi keutamaan di dalam agenda pihak kementerian untuk memastikan kecemerlangan sukan negara dapat diteruskan.

“Sehubungan itu, pihak kementerian telah membuat keputusan untuk menambahbaik Skim Elaun Latihan atlet sedia ada dengan mengambil kira elaun latihan yang telah diterima oleh atlet di bawah Program Podium terdahulu,” katanya.

Berdasarkan skim elaun latihan atlet kebangsaan yang baharu, pemenang pingat di temasya Sukan Olimpik/Paralimpik akan menerima RM7,500, diikuti atlet yang memenangi pingat di Sukan Asia/Para Asia yang menerima RM6,000 manakala pemenang pingat di Kejohanan Dunia atau Sukan Komanwel akan menerima RM3,500.

Bagi pemenang pingat emas di temasya Sukan SEA/Para Asean pula mereka bakal menikmati kadar elaun sebanyak RM2,000, serta penyediaan elaun asas RM800 dan elaun separa masa RM500.

“Sebelum ini, ketika sistem tiering, kita memberi kadar elaun berdasarkan pingat yang dimenangi atlet. Skim kali ini adalah berlainan di mana selagi naik ke podium dalam acara atau temasya sukan terebut, secara automatiknya atlet itu akan mendapat kadar elaun berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Contohnya, seorang atlet itu dapat pingat gangsa di Sukan Olimpik, dia akan dapat elaun RM7,500 dan kalau atlet dapat pingat emas pun, dia akan dapat kadar elaun sebanyak RM7,500. Selagi mereka dapat berada atas podium mereka akan mendapat jumlah tertentu.

“Ini bagi meningkatkan tahap keyakinan dan kepastian atlet supaya mereka tahu selagi mereka dapat berada di atas podium mereka akan mendapat bahagian. Hendak dapat podium itu ada kalanya terlalu sukar dan perbezaan antara yang pertama, kedua dan ketiga juga adalah sangat sikit,” katanya.

Berdasarkan pelaksanaan skim elaun baharu ini, sembilan atlet menikmati kadar elaun sebanyak RM7,500, RM6,000 (enam), RM4,500 (135), RM3,500 (49), RM2,000 (219), RM800 (216) dan RM500 (11).

Menyentuh mengenai Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian pula, Syed Saddiq berkata jawatankuasa itu bertanggungjawab menilai prestasi atlet di bawah program MSN dan memutuskan sama ada untuk mengekal atau menggugurkan atlet serta menentukan kadar elaun yang bakal diterima.

Katanya, dengan pelaksanaan penilaian berkenaan, semua atlet akan sentiasa dituntut untuk mempamerkan prestasi terbaik mereka mengikut indeks petunjuk prestasi (KPI) yang telah ditetapkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!