BANTING - Pelajar tingkatan satu yang dikatakan cuba bunuh diri dengan terjun dari bumbung sekolahnya di Telok Datok, di sini, berada di bawah pemantauan psikiatri untuk sesi pemulihan. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pelajar berusia 13 tahun itu telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Banting. "Remaja itu dibenarkan pulang semalam setelah selesai rawatan akibat kecederaan di lengannya. "Tapi, pelajar ini akan diletakkan dalam pemerhatian pakar psikiatri dari Hospital Banting untuk sesi kaunseling," katanya kepada Sinar Harian, hari ini. Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan setakat ini masih tiada sebarang laporan polis dibuat daripada pihak ibu bapa atau sekolah berhubung insiden terbabit. "Sekiranya ada laporan polis dibuat, kita akan buka kertas siasatan yang akan disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan," katanya. Kejadian kira-kira jam 1.30 petang, semalam itu dimaklumkan oleh pihak sekolah terbabit selepas pelajar lelaki terbabit dilihat memanjat dan berjalan di atas bumbung. Polis yang menerima panggilan telah bergegas ke lokasi kejadian dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk cuba memujuk pelajar terbabit sebelum berjaya menyelamatkannya dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba. Siasatan polis mendapati pelajar ini mengaku cuba untuk bunuh diri kerana kecewa dengan seorang pelajar perempuan yang sebaya dengannya yang menolak cintanya. Malah, pelajar lelaki itu juga sempat menulis satu nota yang menjelaskan tujuannya untuk bunuh diri. ARTIKEL BERKAITAN: Cuba terjun bumbung sekolah kerana cinta ditolak