Lebih 3,000 mangsa banjir di Selangor dipindahkan ke 30 PPS
SHAH ALAM - Seramai 3,086 mangsa banjir setakat ini dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ni membabitkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang ekoran hujan lebat tanpa henti sejak Jumaat.
Pengarah Bomba negeri, Norazam Khamis berkata, di Klang sebanyak 20 PPS dibuka dengan membabitkan 2,604 mangsa.
Menurutnya, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong dan SK Johan Setia di Klang mencatatkan jumlah penempatan mangsa tertinggi iaitu masing-masing 681 dan 793 orang.
Di Sepang dan Kuala Langat sebanyak 10 PPS dibuka membabitkan 482 mangsa.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapannya di Twitter berkata, pada masa sama, sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) sedang digerakkan bagi mengedarkan bantuan kepada mangsa banjir.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa dan membuka lebih banyak PPS sekiranya diperlukan.
Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan amaran hujan berterusan (waspada) untuk Selangor. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!