Bersatu berdepan dua cabaran utama raih undi
KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai wadah politik kini berdepan dengan dua cabaran utama, kata Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Beliau berkata, cabaran tersebut menjadi penghalang dan menyukarkan usaha parti untuk meraih sokongan undi daripada masyarakat dalam pilihan raya.
"Cabaran pertama melibatkan tahap sosialisasi politik iaitu kesedaran pengetahuan atau penyertaan masyarakat dalam aspek tersebut adalah amat rendah.
"Cabaran kedua iaitu tawaran yang perlu diyakinkan kepada rakyat khususnya kepada golongan muda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu pada Sabtu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Sabtu.
Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee.
Justeru itu, Wan Ahmad Fayhsal menggesa agar ahli-ahli Armada Bersatu supaya bergerak lebih aktif di platform-platform awam bagi menyantuni masyarakat.
Menurutnya, strategi itu umpama senjata yang ampuh untuk memenangi keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap kebolehupayaan parti.
"Ingatlah kata-kata hikmah ini, mata pena lebih tajam daripada mata pedang.
"Lebih kerap menulis termasuk di media sosial, lebih aktif di saluran rakyat, lebih rencam perkongsian segar di TikTok dan lebih banyak penampilan di media massa.
"Tugas hakiki kita adalah untuk menyematkan keyakinan di jiwa mereka bahawa kita ini adalah wadah yang membawa gema suara anak muda," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!