PRU15 dijangka berlangsung dengan 1,001 halangan, sekatan
PASIR GUDANG - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam keadaan pandemik Covid-19.
Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, UMNO perlu membiasakan diri mahir dengan kempen norma baharu iaitu secara maya dan fizikal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Jadi kita mesti memahirkan diri kita dengan kempen semasa pandemik. Mahirkan diri kita dengan segala SOP yang pelbagai. Lengkapkan persediaan kita dengan kempen secara maya dan juga fizikal.
"PRU15 akan berlaku dalam pandemik dengan 1,001 satu halangan dan sekatan," katanya berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Johor Jaya, Johor Jaya di sini pada Sabtu.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu juga berkata, UMNO perlu menang dan ada persiapan strategik.
Katanya, banyak pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu yang boleh dijadikan panduan UMNO untuk menghadapi PRU15.
"Kejatuhan kerajaan BN di Melaka semuanya berlaku kerana semua merasakan mereka sangat berkuasa, berpengaruh dan penting. Ada yang rasa menjadi ketua adalah hak mereka," katanya.
Justeru katanya, pada PRU15 tidak ada pemimpin UMNO yang akan menyukarkan kemenangan parti itu dengan mendabik dada bahawa mereka lebih layak atau menjadi ketua adalah hak mereka selain mendakwa lebih berjasa.
"Pemikiran sebegini bukan sahaja ujub dan toksik tetapi boleh membunuh parti dan persaudaraan," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!