UMNO Alor Setar lancar Satu Keluarga Satu Profesional Satu Usahawan

Mohd Yusof (dua kiri) melancarkan program Satu keluarga Satu Professional Satu Usahawan pada Mesyuarat Persidangan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, pada Sabtu.
Mohd Yusof (dua kiri) melancarkan program Satu keluarga Satu Professional Satu Usahawan pada Mesyuarat Persidangan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Bahagian Alor Setar melancarkan program hala tuju 15 tahun bagi warga Parlimen Alor Setar menerusi program Satu keluarga Satu Profesional Satu Usahawan pada Sabtu.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, inisiatif berkenaan diambil bagi melahirkan seorang profesional dan seorang usahawan dalam sebuah keluarga sekurang-kurangnya di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, satu sekretariat akan dibentuk bagi mengendali program ini bermula Januari 2022 dengan mengambil calon yang sesuai mengikut kategori daripada setiap keluarga seawal umur 13 tahun.

“Mereka akan dilatih dan diberi pendedahan yang sebaiknya mengikut kecenderungan minat sama ada sebagai profesional atau menjadi seorang usahawan.

“Antara objektif program ini ialah untuk meningkatkan ekonomi keluarga serta mempersiapkan diri mereka dalam mendepani persaingan yang kuat pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Yusof berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Persidangan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, pada Sabtu.

Katanya, beliau menyasarkan sejumlah 1,000 profesional pelbagai bidang dapat dilahirkan melalui program ini dan seramai 3,000 usahawan yang berjaya dapat dibentuk dalam masa 15 tahun.

Tambah Mohd Yusof, program ini akan direka bentuk secara holistik agar kepimpinan selepas beliau nanti juga dapat meneruskan inisiatif tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Untuk memajukan sesebuah negara kita perlu memajukan rakyatnya dari segi ilmu dan perancangan ekonomi mereka,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya tidak mahu rakyat ketinggalan dengan arus kemajuan negara hingga menyebabkan golongan yang berpendapatan rendah tertinggal jauh hingga mengakibatkan mereka terjerumus masalah sosial.

Sebagai pemimpin, katanya setiap rakyat merupakan aset bernilai negara ini dan mereka perlu dijaga sebaik mungkin serta perlu diberi nilai tambah.

“Atas kesedaran itulah maka UMNO Alor Setar mengambil inisiatif memulakan program Satu keluarga Satu Profesional Satu Usahawan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap mendapat kerjasama daripada semua pihak terutama pihak kerajaan untuk mencapai objektif yang telah digariskan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!