Hak autonomi UMNO Sabah tertakluk untuk PRN saja: Bung Moktar

Bung Moktar ketika hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan di Dewan Masyarakat Sandakan, Sandakan pada Sabtu.
Bung Moktar ketika hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan di Dewan Masyarakat Sandakan, Sandakan pada Sabtu.
A
A
A

SANDAKAN - Hak autonomi parti kepada Sabah hanya tertakluk untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) saja, kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Jelas beliau, bagi Pilihan Raya Umum (PRU), ia adalah hak autonomi UMNO Pusat seperti dalam perjanjian sebelum ini.

"(UMNO Sabah) akan seiring dengan Semenanjung (UMNO Pusat). Kalau mereka sudah putuskan, kita akan ikut (kerjasama dengan Perikatan Nasional).

"(Di peringkat Sabah) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini autonominya untuk PRN saja. Untuk pilihan raya Parlimen, itu autonomi pusat. Itu perjanjian kita sebab yang mahu jadi Perdana Menteri bukan kami," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan di Dewan Masyarakat Sandakan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendirian UMNO Sabah sama ada seiring dengan UMNO Pusat atau sebaliknya.

Mengulas lanjut adakah UMNO Sabah akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di negeri ini, Bung Moktar menjelaskan, ia adalah keputusan UMNO Pusat.

"Bergantung dengan kehendak Barisan Nasional (BN) Pusat. Kalau 25, maka 25 lah," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada UMNO Sabah sudah mengenal pasti atau tidak calon untuk dikemukakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, tinjauan akan dibuat pada awal bulan depan berkaitan calon yang dikemukakan nanti.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah kenal pasti. Dalam awal Januari ini, kita akan buat tinjauan di semua Parlimen. Biar kita puas hati calon yang diketengahkan untuk ditawarkan kepada rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!