KUALA LUMPUR - Pengguna jalan raya serta pengunjung berhampiran pusat beli-belah di Jalan Imbi, di sini, dikejutkan dengan 'aksi' seorang mak nyah berjalan tanpa seurat benang. Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.15 pagi tadi membabitkan mak nyah warga Filipina. Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh orang awam. “Berdasarkan maklumat yang diterima, mak nyah berkenaan disyaki kurang siuman. “Mak nyah itu telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini. Terdahulu, rakaman video kejadian itu telah tular di media sosial menunjukkan mak nyah berkenaan dilihat berjalan serta berlari di atas pembahagi jalan di lokasi terbabit selain turut menari. 'Aksi' mak nyah itu mengundah suasana di kawasan itu sedikit gamat dengan bunyi hon beberapa kenderaan di situ.