Adib ungguli kelas CP125 Cub Prix Malaysia

Adib meraikan kejayaannya menjuarai CP125 musim ini.
Adib meraikan kejayaannya menjuarai CP125 musim ini.
A
A
A

SELEPAS 11 tahun bertungkus-lumus, pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing, Mohd Adib Rosley akhirnya berjaya menggalas gelaran juara CP125 Kejuaraan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas musim ini.

Walaupun hanya menamatkan perlumbaan di tempat keenam pada Pusingan 9 di Litar Sepang Selatan, Sepang pada Sabtu, 10 mata yang dikutip Adib itu sudah memadai untuk mengesahkan kedudukannya sebagai juara.

Persaingan yang cukup rapat dalam kategori CP125 bermula dengan Mohd Harith Farhan Baharin daripada Tuneboss Pink Racing bermula di petak pertama.

Namun, Harith hanya mampu bertahan di kedudukan pendahulu dalam satu pusingan sebelum dipintas pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Mohd Syafiq Rosli pada pusingan kedua.

Syafiq mendahului selama tiga pusingan, tetapi menghadapi tekanan sengit daripada rakan sepasukannya sendiri, Mohd Aliff Danial Mohd Asri.

Di belakang dua pelumba Maju Motor tersebut, duo pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team – Mohd Fareez Afeez Abd Rahman dan Adib mula mengorak langkah.

Dua pusingan sebelum tamat perlumbaan, Fareez berjaya menempatkan diri dalam kalangan tiga pelumba teratas.

Pada pusingan terakhir, Fareez membuat kejutan apabila sempat memintas dua pelumba di hadapannya dan berjaya menduduki tempat pertama dengan catatan masa 12’39.734 saat (s).

Artikel Berkaitan:

Mohd Syafiq terpaksa akur di tempat kedua apabila merakamkan masa 12’39.958s manakala tempat ketiga jatuh ke tangan Mohd Harith Farhan (12’40.116s).

“Pada perlumbaan tadi, saya hanya ingin berlumba secara selamat dan tidak mahu mengambil risiko yang terlalu tinggi. Terutama sekali apabila saya mengetahui bahawa Hafiza menghadapi masalah teknikal,” jelas Adib

Perebutan takhta dalam CP150 akan dilanjutkan di Pusingan 10 apabila Ahmad Afif Amran daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing berjaya merampas kedudukan pendahulu setelah memenangi perlumbaan Pusingan 9.

Afif yang sedang memburu gelaran juara ketiga dalam kategori premier itu begitu kental menghadapi tekanan dalam perlumbaan 11 pusingan tersebut.

Walaupun dicabar hebat Kasma Daniel Kasmayudin dan Mohd Akid Aziz, Afif tenang menghadapi cabaran sehingga berjaya mencatat kemenangan ketiga musim ini dengan catatan masa 15’53.188s.

Akid Aziz daripada pasukan ONEXOX TKKR Racing Team menduduki tempat kedua dengan catatan15’53.211s disusuli Kasma Daniel Kasmayudin (15’53.249s).

Azroy Hakeem Anuar hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat keempat. Pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team tersebut kini jatuh ke tangga kedua keseluruhan - lapan mata kejuaraan di belakang Afif.

Kategori Wira KBS turut menampakkan perubahan apabila pelumba Moto1 Koyoko Honda KC Racing, Mohd Irfan Haykhal Amidi mengambil alih kedudukan pendahulu apabila berjaya merampas kemenangan ketiganya musim ini dengan catatan 11’16.411s

Bermula dari barisan pertama, Irfan bertarung hebat dengan Mohd Harith Haziq Zamri daripada pasukan Castrol Power1 Honda Team.

Namun, keyakinan yang ditunjukkan Irfan di atas litar yang basah dan licin membolehkan pelumba KC Racing itu mula menjauhkan diri dari kelompok kedua.

Apabila bendera kemenangan dikibar pada pusingan ketujuh, Irfan telah mencipta jarak sebanyak 1.356s dengan pelumba di tempat kedua - Mohd Syamil Amsyar Mohd Iffende manakala Mohd Harith Haziq Zamri menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan 11’17.836s.

Kemenangan ketiga berturut-turut ini meletakkan Irfan di tangga teratas kejuaraan Wira KBS dengan 125 mata.

Mohd Aqil Danial Nasrul yang telah memimpin buruan juara Wira KBS sepanjang musim ini, jatuh ke tangga kedua dengan 123 mata apabila hanya berjaya menamatkan perlumbaan Pusingan 9 di tempat keenam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!