Rakyat diminta solat hajat elak banjir besar

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri menyarankan rakyat Kelantan mengadakan solat hajat supaya negeri ini tidak dilanda bencana banjir yang buruk.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob melalui entri laman sosial Facebook miliknya berkata, berdasarkan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, hampir seluruh jajahan di negeri Kelantan akan mengalami hujan secara berterusan terutama di bahagian selatan Kelantan.

"Bilik Gerakan Banjir setiap jajahan yang terlibat sudah berada keadaan siap sedia dengan kerjasama bersepadu pasukan-pasukan keselamatan termasuk pasukan sukarelawan untuk memastikan proses pemindahan dan agihan bantuan banjir berjalan lancar.

"Saya juga telah mengarahkan kepada semua wakil rakyat terutama di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa dalam siap sedia untuk membantu semua mangsa banjir dengan penyelarasan bersama daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana Jajahan (PKOB),"katanya.

Menurut beliau, rakyat Kelantan terutama mangsa banjir dinasihatkan tidak mengambil mudah setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah.

Jelas beliau, apabila arahan berpindah dikeluarkan, semua pihak hendaklah mengambil langkah segera untuk berpindah dan sebolehnya dilaksanakan sebelum waktu Maghrib.

"Dalam keadaan kita belum bebas daripada penularan wabak Covid-19, tingkatkan kawalan kendiri, pastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi terutama ketika berada di pusat pemindahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!