Penduduk Kelantan diingat waspada ancaman laut bergelora

Syed Nur Adli (berdiri, kanan) mengingatkan nelayan tempatan semasa melakukan rondaan susulan Monsun Timur Laut yang sedang melanda perairan Kelantan ketika ini.
Syed Nur Adli (berdiri, kanan) mengingatkan nelayan tempatan semasa melakukan rondaan susulan Monsun Timur Laut yang sedang melanda perairan Kelantan ketika ini.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mengingatkan nelayan pesisir pantai supaya waspada dengan ancaman laut bergelora susulan Monsun Timur Laut yang sedang melanda perairan Kelantan ketika ini.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nur Adli Syed Ab Rahman berkata, perairan negeri itu menerima tiupan angin lebih kencang dan berterusan yang boleh mencecah kelajuan sehingga 50 hingga 60 kilometer sejam berserta hujan lebat.

"Tiupan angin itu boleh menyebabkan ombak mencapai ketinggian antara 3.5 hingga 4.5 meter.

"Situasi tersebut boleh membahayakan pengusaha bot terutama bot pemancing rekreasi, bot tradisional dan bot fibreglas," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Menurutnya, komuniti nelayan diingatkan supaya memaklumkan pergerakan kepada persatuan nelayan, ahli keluarga atau Maritim Malaysia Kelantan berkaitan lokasi jika mahu turun ke laut.

Beliau berkata, makluman itu bagi memudahkan pencarian dilakukan sekiranya berlaku kecemasan.

Pada masa sama katanya, nelayan diingatkan supaya sentiasa memakai jaket keselamatan dan peralatan komunikasi perlu dibawa serta disimpan dalam keadaan selamat untuk memudahkan perhubungan sekiranya berlaku kecemasan.

"Komuniti maritim juga perlu menyimpan nombor telefon Maritim Malaysia Kelantan (Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan – 09 778 0070) atau Malaysia Emergency Response Service (MERS) 999 di telefon bimbit bagi tujuan kecemasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Syed Nur Adli mengingatkan nelayan mengambil iktibar insiden sebuah bot terbalik di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor yang mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang pendatang asing tanpa izin manakala 16 lagi dipercayai masih hilang.

Menurutnya, pada Jumaat sebuah bot nelayan tempatan kelas C terbalik lebih kurang 8.29 batu nautika daripada Kuala Kuantan menyebabkan seorang nelayan warganegara Myanmar hilang manakala empat rakannya yang lain berjaya diselamatkan.

"Elak kehilangan nyawa dimusim laut bergelora," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!