Taliban sedia keluarkan semula pasport

Taliban akan menerima kesemua permohonan baharu bermula 10 Januari depan. - Foto: Agensi
Taliban akan menerima kesemua permohonan baharu bermula 10 Januari depan. - Foto: Agensi
A
A
A

KABUL - Pemerintah Taliban pada Sabtu mengumumkan ia akan mengeluarkan semula pasport sekali gus memberi harapan baharu kepada penduduk di Afghanistan setelah pengambilalihan kuasa pada Ogos lalu.

Ketua Jabatan Pasport di Kementerian Dalam Negeri, Alam Gul Haqqani berkata, pihak berkuasa akan mula mengeluarkan dokumen tersebut bermula Ahad.

Difahamkan, pejabat tersebut yang berpusat di Kabul pernah dibuka semula pada Oktober lalu, namun terpaksa menutup operasi selepas menerima permohonan yang terlampau banyak sehingga menyebabkan berlaku masalah teknikal pada peralatan sistem biometrik.

"Kesemua masalah itu telah dapat diatasi," ujarnya sambil menambah dokumen perjalanan awal akan diberikan kepada individu yang membuat permohonan sebelum operasi itu dihentikan sementara.

Menurutnya lagi, kesemua permohonan baharu akan diterima bermula 10 Januari depan.

Sebelum ini, ribuan penduduk Afghanistan yang berhasrat mendapatkan rawatan perubatan di Pakistan 'terkandas' selama beberapa bulan kerana gagal mendapatkan pasport sah.

Langkah pengeluaran pasport juga dilihat sebagai sebahagian daripada komitmen Taliban kepada komuniti antarabangsa yang berjanji mahu memberikan laluan selamat kepada individu yang mahu meninggalkan negara tersebut yang kini berdepan krisis kemanusiaan dan ekonomi yang semakin buruk. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!