Terpaksa tambat 26 ekor lembu pada pembahagi jalan
REMBAU - Seorang penternak lembu terpaksa menambat 26 ekor lembu peliharaannya di pembahagi jalan selepas kandang haiwan itu di Kampung Sungai Timun di sini ditenggelami banjir.
Khairuddin Abd Hamid, 58, berkata, sebanyak 60 ekor kambing peliharaan anaknya pula terpaksa dimasukkan ke dalam lori untuk ditempatkan di kawasan selamat.
"Saya bertindak begini kerana bimbang haiwan peliharaan saya hilang atau mati lemas akibat banjir.
"Sejak malam tadi (Jumaat) hujan lebat. Pada jam 1 tengah hari tadi, saya tengok lembu saya dah ditenggelami air.
"Bimbang keadaan banjir makin teruk, saya keluarkan kesemua lembu dari kandang dan tambat pada pembahagi jalan yang tempatnya agak tinggi," katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.
Menurutnya, seekor lembu miliknya sudah mati akibat mengalami kekejangan kaki, kemungkinan disebabkan lama berada di dalam air.
Ujar Khairuddin, kejadian banjir kali ini paling terburuk pernah berlaku dan dia menjangkakan keadaan lebih buruk boleh berlaku jika hujan berterusan.
"Rumah saya bersebelahan kandang sudah dinaiki air banjir tapi saya akan tetap tunggu di rumah kerana risau keadaan banjir lebih buruk berlaku.
"Semua lembu ini saya perlu tengok," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!