Banjir: Selangor mohon bantuan kerajaan Persekutuan
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan Selangor memohon bantuan aset-aset Persekutuan dan penglibatan tentera bagi menyelamatkan mangsa banjir yang terkandas ketika ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai permohonan berkenaan.
"Saya telah berhubung dengan Perdana Menteri bagi memohon bantuan mangsa banjir di Selangor," katanya dalam satu kenyataan di Twitter beliau pada Sabtu.
Beberapa penduduk di Kampung Bukit Lanchong dan Lanchong Jaya sebelum ini terperangkap berikutan ban Sungai Klang pecah menyebabkan air naik mendadak.
Selain itu, ribuan pengguna lebuh raya daripada kedua-dua arah ke Shah Alam dan ke Kuala Lumpur terkandas berikutan banjir di laluan Lebuh Raya Persekutuan petang Sabtu.
Kejadian itu berlaku berikutan penutupan kecemasan Plaza Tol Shah Alam serta persimpangan lebuh raya berhampiran Stesen Komuter Batu 3.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!