Muhyiddin doakan Tun M segera sembuh
KUALA LUMPUR - Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendoakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Khamis lepas, agar segera sembuh dan kembali ke pangkuan keluarga.
"Saya ingin menyatakan di sini rasa dukacita kerana kita mendapat berita Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berada di Institut Jantung Negara.
"Kita ingin mendoakan, mudah-mudahan Yang Amat Berbahagia Tun (Dr Mahathir) akan dapat pulih dengan secepat mungkin dan kembali bersama-sama dalam sisi masyarakat kita pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Kali Keempat Bersatu di sini, malam ini.
Menurut kenyataan IJN semalam, pemeriksaan kesihatan yang dijalankan ke atas Dr Mahathir dijangka selesai dalam masa beberapa hari lagi.
Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga mendoakan agar Dr Mahathir akan segera sembuh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!