Gempur Indonesia!

Barisan pemain Harimau Malaya menjalani latihan di Stadium Yishun baru-baru ini. - Foto Facebook FAM
Barisan pemain Harimau Malaya menjalani latihan di Stadium Yishun baru-baru ini. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SEDAR slot separuh akhir menjadi taruhan, Malaysia dijangka tampil dengan corak permainan secara menyerang apabila berdepan Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Nasional, Singapura pada Ahad.

Pada ketika Indonesia hanya memerlukan satu mata untuk melangkah ke pentas separuh akhir, Harimau Malaya pula tidak ada jalan lain selain wajib keluar sebagai pemenang dalam aksi tersebut.

Jika tiga mata berjaya dibawa pulang, tiket separuh akhir sudah berada dalam genggaman anak-anak buah Tan Cheng Hoe yang turun dalam misi ‘hidup mati’ kali ini.

Justeru, Cheng Hoe menuntut Harimau Malaya fokus sepanjang 90 minit perlawanan bagi memastikan kemenangan mutlak dapat dicapai ke atas Sang Garuda.

“Setiap peluang yang ada harus dimanfaatkan dan barisan penyerang harus tampil lebih efektif. Kita dah analisis permainan Indonesia dan sudah tentu mereka juga sudah melakukan perkara sama.

“Kita akan main secara menyerang dan pasukan harus lebih tajam di depan kerana gol awal cukup penting. Kita juga kena fokus di bahagian pertahanan.

“Apabila kita kehilangan bola, kita kena cepat tutup ruang kerana pemain Indonesia cukup pantas dan merbahaya,” katanya dalam sidang media secara maya pada Sabtu.

Dalam misi menggempur kubu Indonesia, Cheng Hoe dijangka mempertaruhkan gandingan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula.

Artikel Berkaitan:

“Kita ada baki 24 jam untuk buat pilihan terbaik, siapa kesebelasan utama lawan Indonesia. Kita tahu mereka bermain agak baik menentang Vietnam yangmana pertahanan mereka cukup berdisiplin.

“Kita masih lagi menilai solusi dan pemain terbaik untuk menggantikan Luqman (Hakim Shamsudin). Kita tahu Luqman antara pemain muda yang meningkat naik dan kita akan putuskan siapa pemain yang akan main di posisi itu (penyerang),” ujarnya.

Pada masa sama, Cheng Hoe berkata, kehadiran semula beberapa pemain seperti Faisal Halim, Akhyar Rasid, Junior Eldstal dan tonggak pertahanan kacukan, Dion Cools mampu memberi ‘nilai tambah’ kepada Harimau Malaya.

“Bagi saya, kehadiran pemain-pemain ini tepat pada masanya kecuali bagi Shahrul Saad dan Aidil Zafuan (Abd Radzak) yang mengalami kecederaan.

“Dion Cools juga sudah tiba dua hari lalu. Namun, seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, kita tidak hanya bergantung kepada satu-satu pemain kerana kita perlu beraksi sebagai satu pasukan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!