Empat anggota polis direman kes dadah
MELAKA - Empat anggota polis antara lapan individu yang direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, bagi membantu siasatan membabitkan kes penyalahgunaan dadah.
Perintah reman bermula hari ini sehingga 16 Mac itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Analia Kamarudin ke atas kesemua suspek yang berusia antara 27 hingga 54 tahun.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39a(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Difahamkan, dua daripada anggota terbabit bertugas di Cawangan Pengangkutan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, manakala dua lagi masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah serta Balai Polis Bukit Baru.
Kesemua lapan individu itu ditahan di kuarters polis di Ayer Keroh, kira-kira jam 7.30 petang, semalam.
Difahamkan, pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu kemudian menjumpai peket lut sinar dipercayai dadah jenis syabu anggaran berat 5.7 gram.
Malah saringan awal ujian air kencing dilakukan turut mendapati kesemua mereka positif methamphetamine.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua lapan individu berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!