Banjir: 100 penduduk bermalam atas bumbung surau lebih 12 jam
HULU LANGAT - Kira-kira 100 penduduk di Taman Sri Nanding di sini yang terperangkap akibat banjir terpaksa berlindung lebih 12 jam atas bumbung Surau Al Munir Taman Sri Nanding di sini pada Ahad.
Penduduk, Puteri Nadia Natasha Mohamed Ramzan, 24, berkata, perkara itu dimaklumkan seorang rakannya menerusi perkongsian video ketika berada di atas bumbung surau berkenaan.
Menurutnya, penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung surau berikutan air naik pada paras tertinggi meskipun dalam keadaan kesejukan akibat hujan renyai.
"Saya antara penduduk yang menetap di Taman Sri Nanding, namun sempat menyelamatkan diri keluar dari kawasan bencana.
"Namun ada beberapa rakan yang tidak sempat keluar terpaksa berlindung atas bumbung surau sementara menunggu bantuan tiba," katanya.
Jelas Puteri Nadia, lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan bayi, wanita mengandung, pesakit kronik dan warga emas terpaksa menumpang teduh di atas bumbung terbabit.
"Rumah kami kebanyakannya sudah tenggelam dan keadaan semakin teruk apabila air dari Sungai Pangsun melimpah deras ke penempatan penduduk.
"Banyak kerugian harta benda dialami dan sebahagian kereta yang tidak sempat diselamatkan tenggelam selain operasi menyelamat berdepan kesukaran," jelasnya.
Katanya, pada masa ini penduduk mula dipindahkan dengan bantuan bot dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Taman Perkasa.
"setakat jam 10 pagi tadi (Ahad) proses pemindahan penduduk ke lokasi lebih selamat masih dijalankan dan berharap semuanya dalam keadaan selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!