Bot karam: Op Carilamat berdepan cuaca buruk hari kelima
JOHOR BAHRU - Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) mangsa bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi, terpaksa berdepan dengan cuaca buruk, masuk hari kelima pencarian.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, tiada penemuan mangsa baharu setakat 8 pagi ini dengan jumlah mangsa yang disyaki masih hilang kekal 16 orang.
Beliau berkata, pencarian di laut diteruskan menggunakan empat aset laut dengan keluasan sektor pencarian dianggarkan 111 batu nautika persegi manakala helikopter AW139 milik Maritim Malaysia akan melaksanakan pencarian udara meliputi seluas 76.50 batu nautika persegi.
Misi pencarian di pesisir pantai pula yang melibatkan petugas daripada Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meliputi Tanjung Siang hingga Sungai Musuh.
"Kekuatan pasukan penyelamat hari ini melibatkan seramai 61 petugas pelbagai agensi merangkumi pencarian udara, laut dan darat.
"Cuaca pada hari ini (Ahad) diramalkan masih buruk dengan kelajuan angin dianggarkan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter serta ribut petir di beberapa tempat," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Beliau turut menasihati komuniti maritim terutamanya nelayan untuk menangguhkan aktiviti di laut sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk dan hendaklah sentiasa peka kepada amaran-amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia terutamanya kepada bot-bot kecil. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Bot Karam: Radius operasi SAR hari keempat di laut, udara diperluas
Jumlah mangsa bot karam mungkin lebih 17 orang
10 lemas, bot bawa PATI karam di Tanjung Balau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!