Hujan rahmat bantu Zulfiqar ungguli 100 meter
HUJAN lebat sejak awal pagi tadi ternyata memberi satu rahmat kepada atlet Terengganu, Muhammad Zulfiqar Ismail untuk muncul pelari terpantas 100 meter lelaki pada Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2021.
Keadaan trek yang basah, langsung tidak menjejaskan rentak larian Muhammad Zulfiqar apabila terus memecut laju meninggalkan pesaingnya hingga ke garisan penamat dengan catatan masa 10.52 saat pada kejohanan berlangsung di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Sabtu.
Lebih manis, atlet berusia 22 tahun itu berjaya menewaskan juara Grand Prix Malaysia pada April lepas, Muhammad Arsyad Md Saat dari Johor untuk pingat perak (10.69s) selain dua atlet kebangsaan - pelari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jonathan Nyepa (10.72m) serta juara bertahan Sukan SEA, Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan yang menamatkan kedudukan di tangga kelima (10.80s).
Muhammad Zulfiqar yang tidak menyangka memenangi perlumbaan berkata, pencapaian dilakarnya telah mengembalikan keyakinannya yang hilang selepas disingkirkan daripada menyertai skuad Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina susulan kecederaan hamstring dialaminya dua bulan sebelum temasya sukan itu berlangsung.
"Saya tak jangka menang, namun ketika lari tadi dalam keadaan hujan okay, tak rasa penat dan tiada kecederaan. Selepas cedera dahulu saya akui tidak yakin dengan diri, ambil masa setahun juga nak cari apa yang hilang, keyakinan berkurang tak yakin dengan diri namun alhamdulillah dapat balik keyakinan lepas menang hari ini (semalam),” katanya kepada pemberita.
Walaupun tidak berupaya memperbaiki catatan terbaik peribadi iaitu 10.40s dilakar di Jerman pada 2018, namun Muhammad Zulfiqar tetap berpuas hati dengan larian hari ini apabila menyamai had kelayakan ditetapkan Kesatuan olahraga Malaysia (KOM) sekiranya mahu bertanding di Sukan SEA Hanoi, Vietnam, Mei depan.
Justeru, beliau berharap catatan dilakukannya ini mampu memikat hati KOM untuk menyenaraikannya di Hanoi nanti biarpun menyedari cabaran sengit dihadapi untuk terpilih mengalas cabaran negara dalam acara reben biru itu nanti.
Sementara itu, pelari kebangsaan yang mewakili ATM, Siti Fatimah Mohamad meraih emas acara 100m wanita dengan catatan 12.27s diikuti Fatin Ilyana Mat Nayan dari Kedah untuk perak (12.32s) dan gangsa milik seorang lagi atlet ATM, S. Komalam Shally (12.34s).
Siti Fatimah mengakui cuaca hujan sedikit sebanyak menggangu prestasinya hari ini namun tetap bersyukur dapat mencoretkan satu lagi kejayaan dalam kariernya.
Dalam pada itu, pemegang rekod kebangsaan, Jackie Wong menepati ramalan mendominasi acara lontar tukul besi apabila mencatat lontaran 63.76m untuk meraih emas diikuti atlet Negeri Sembilan Sadat Marzuqi Ajisan meraih perak (56.44m) dan gangsa milik Rizad Azri Che Radzi dari Perlis (44.84m).
Seorang lagi pemegang rekod, Gracie Wong juga tidak kurang hebatnya apabila meraih emas kategori wanita dengan catatan 59.79m, perak dirangkul Nurul Hidayah Lukman dari Selangor (46.24m) dan Ailenna Thipong Laga dari Sarawak terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa (36.70m). - Bernama
Berikut merupakan keputusan lain dalam hari pertama Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2021:
10,000m jalan kaki lelaki
1. M Sivanesh (Negeri Sembilan) 52 minit 58.78s
2. Muhammad Aliff Mubarak Ahmad (Kuala Lumpur) 53:39.90s
3. Chau Tai Kee (Kuala Lumpur) 55:31.15s
10,000m jalan kaki wanita
1. Nurul Alyahaziqah Kamaruzaman (Kelantan) 56:41.88s
2. Nurul Ashikin Hussin (Kuala Lumpur) 57:07.69s
3. Heng Jia Wen (Selangor) 58:00.04s
800m lelaki
1. Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (Kelantan) 1:56.77s
2. Avinesh Austin (Selangor) 1:57.51s
3. Jeff Lim Zhe Yu (Selangor) 1:59.31s
800m wanita
1. Savinder Kaur Jogindr Singh (ATM) 2:15.88s
2. S. Geetha (Johor) 2:19.55s
3. Hilzillawaty Jamain (Sabah) 2:19.90s
400m lari berpagar lelaki
1. Ruslem Zikrty Putra Roseli (Terengganu) 53.67s
2. Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi (Johor) 54.70s
3. Muhammad Muzakkir (Johor) 55.62s
400m lari berpagar wanita
1. Mandy Goh Li (Sarawak) 1:05.18s
2. Avevenda Aron (Sabah) 1:06.36s
3. Frenynila Sherly Lucius (Sabah) 1:07.62s
Rejam lembing wanita
1. Nur Ayna Nuha Maton (Perlis) 39.73m
2. Farisha Athirah Wai (Sarawak) 37.13m
3. J Pavihtra Devi (Pulau Pinang) 36.95m
Lompat jauh lelaki
1. Luqman Hakim Ramlan (ATM) 7.23m
2. Muhammad Nazri Mustafa (Kedah) 7.19m
3. Shareem Aleimran Abdul (Selangor) 6.92m
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!