Rakyat muak dengan 'politiking'

Zahidi (tengah) menaiki beca ketika menyertai menyertai Festival Peranakan Penang dan meninjau pameran Jawi Peranakan Pulau Pinang dan pameran Vintaj dan Batik Peranakan pada Ahad.
Zahidi (tengah) menaiki beca ketika menyertai menyertai Festival Peranakan Penang dan meninjau pameran Jawi Peranakan Pulau Pinang dan pameran Vintaj dan Batik Peranakan pada Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Barisan Nasional (BN) di PRN Melaka membuktikan rakyat sudah muak dengan permainan politik (politiking).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pengundi sudah nampak bahawa parti yang mempunyai banyak parti komponen tidak sesuai untuk mentadbir negara.

Menurutnya, sehubungan itu, BN perlu mengubah cara agar tidak mengulangi kesilapan sebelum ini untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.

Katanya lagi, BN juga tidak boleh dilihat terlalu ghairah untuk mengadakan PRU dalam tempoh terdekat.

"BN tidak boleh mengulangi kesilapan dahulu, tambahan lagi selepas kita turut bersama-sama menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik (CSR) antara kerajaan dan pembangkang," katanya selepas menyertai Festival Peranakan Penang di sini, pada Ahad.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia turut menaiki beca dan meninjau pameran Jawi Peranakan Pulau Pinang dan pameran Vintaj dan Batik Peranakan.

Beliau menambah, CSR itu secara jelas bertujuan supaya negara dapat ditadbir ke arah meningkatkan semula ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 tanpa dipengaruhi amalan 'politiking' sekurang-kurangnya sehingga Julai tahun depan.

"Kita tidak boleh mengingkari semangat CSR tersebut yang dibimbangi bakal memberi tanggapan negatif dari sudut kepercayaan rakyat terhadap parti tersebut. Kita perlu mengembalikan keyakinan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Tujuan CSR adalah supaya kerjasama politik dapat ditingkatkan bagi memberi tumpuan membantu kebajikan rakyat, mengatasi masalah pandemik dan meningkatkan ekonomi negara.

"Jadi tidak bolehlah apabila kita melihat BN kembali mendapat sokongan rakyat ketika ini dan ada peluang untuk menang besar jika PRU diadakan, maka kita mahu mengingkari perjanjian CSR itu," katanya.

Beliau mengulas berhubung desakan beberapa pihak di dalam BN khususnya UMNO supaya PRU15 diadakan selepas kemenangan besar dalam PRN Sarawak dan Melaka.

Katanya lagi, sekiranya BN mengingkari CSR, maka rakyat akan beranggapan BN tiada beza dengan Pakatan Harapan (PH) yang tidak mengotakan janji mereka dalam PRU lalu.

"Jika BN mengingkari CSR dengan mengadakan PRU awal juga akan menyebabkan rakyat menilai BN sama seperti PH yang tidak mengotakan janji dan manifesto mereka ketika pilihan raya umum lalu.

"Kita (BN) tidak boleh ubah apa-apa perjanjian atau manifesto, nanti rakyat tidak percaya. Jadi, apabila tiba masanya iaitu Julai nanti baru kita bincang berkenaan PRU," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!