City mampu sambar gelaran hatrik
BINTANG baharu Manchester City, Jack Grealish optimis The Citizens mampu menyambar tiga piala musim ini bagi menyamai pencapaian Manchester United menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara dan Piala FA pada 1999.
Bagaimanapun, Grealish berkata, fokus utamanya ketika ini menjaringkan lebih banyak gol selepas mencipta rekod perpindahan £100 juta (RM558.6 juta).
“Saya tidak mahu memberi terlalu banyak tekanan kepada pasukan tetapi kami mempunyai begitu banyak bakat dan ramai pemain yang bagus.
“Saya benar-benar berfikir kami mampu pergi jauh dalam beberapa kejohanan musim ini. Saya rasa begitu dan City boleh menang semuanya.
“Itulah tujuan saya datang ke sini untuk memenangi trofi. Jadi diharapkan pada penghujung musim, saya akan memiliki beberapa pingat di leher saya,” katanya.
Pengendali City, Pep Guardiola pula memuji kecemerlangan Grealish yang dianggapnya cepat menyesuaikan diri sejak menyertai The Citizens pada awal musim ini.
“Jack adalah seorang pemain yang bagus. Dia mempunyai kualiti yang sangat tinggi dan telah bermain dengan begitu baik untuk kami sepanjang musim ini.
“Adalah penting untuk setiap pemain berasakan mereka mampu menyumbangkan gol, bahkan dia telah beraksi dengan baik setakat ini ini dan kami sedar apa yang diharapkan daripadanya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!