MCA lulus sembilan resolusi
KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung MCA Ke-68 hari ini sebulat suara meluluskan sembilan resolusi meliputi hal ehwal parti, politik, kerajaan, ekonomi dan pendidikan.
Resolusi tersebut diluluskan oleh 1,246 perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung itu yang diadakan secara hibrid berikutan pandemik Covid-19, selepas dibahaskan oleh 14 delegasi.
Satu daripada resolusi yang diterima pakai menyatakan sokongan kepada kerajaan untuk melaksanakan sepenuhnya Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) supaya semua perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan secara dalam talian dan tanpa tunai, menjimatkan masa rakyat dan mengurangkan beban mereka.
Mengenai ekonomi, MCA menyokong rancangan untuk mengembalikan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) secara beransur-ansur bermula daripada kadar yang dikurangkan sebanyak tiga peratus, di samping turut meminta mekanisme yang berkaitan bagi kutipan dan rebat cukai dipertingkat dan diperkemas.
Perwakilan juga berikrar menyokong kerajaan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, termasuk membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan pelepasan karbon.
Mengenai politik, perhimpunan agung itu menyatakan pendirian tegas mereka terhadap prinsip kemajmukan sederhana, kebebasan dan demokrasi menentang percubaan parti politik dan individu untuk menjadikan negara radikal dengan mengenakan nilai peribadi dan agama kepada orang lain.
Mereka juga memohon konsensus dwipartisan serta sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia supaya diadakan Akta Antilompat Parti untuk tidak menggalakkan perbuatan lompat parti dan menstabilkan keadaan politik.
Bagi isu pendidikan, perwakilan dengan tegas mempertahankan pendidikan bahasa ibunda dan sistem persekolahan pelbagai aliran seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Berikutan banjir yang semakin teruk di banyak kawasan di seluruh negara, perhimpunan itu berakhir lebih awal pada jam 1.30 tengah hari, bukannya 3.30 petang seperti dijadualkan dan semua ahli diarahkan terlibat secara aktif dalam bantuan bencana sebaik pulang ke kawasan masing-masing. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!