Tiada kematian sepanjang pencemaran
PASIR GUDANG - Tiada kehilangan nyawa dilaporkan sepanjang insiden pencemaran bahan kimia di Taman Pasir Putih, di sini, sehingga kini.
Berikut adalah penegasan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berhubung maklumat palsu yang mengatakan seorang pelajar Tingkatan Dua telah meninggal dunia kerana terjejas oleh bahan kimia itu.
“Kerja-kerja pemeriksaan dan rawatan kepada mangsa terjejas sedang dibuat. Jadi kita minta orang ramai bersabar dan tidak mudah membuat andaian sendiri.
“Buat masa ini, tiada kematian dilaporkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort di sini, kini kritikal akibat terhidu udara kotor dipercayai berpunca dari pencemaran terbabit.
Difahamkan, mangsa Affza Balqis Ahmad Sahrel, 14, masih tidak sedarkan diri dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).
Sementara itu, Sahruddin turut memberi peringatan kepada mana-mana pihak untuk tidak menyebarkan sebarang berita palsu yang tidak disahkan.
“Saya harap semua pihak dapat memberikan kerjasama untuk tidak sesuka hari menyebarkan berita palsu. Perkara ini hanya akan menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat.
“Segala maklumat terkini akan dimaklumkan oleh pihak berkaitan dan saluran media yang diperakui,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!