'Semuanya hilang sekelip mata'

Pengguna laman Facebook dikenali dengan nama Najib Khadzi memaklumkan rumah ibu saudara kakak iparnya di Hulu Langat hilang dari pandangan.
Pengguna laman Facebook dikenali dengan nama Najib Khadzi memaklumkan rumah ibu saudara kakak iparnya di Hulu Langat hilang dari pandangan.
A
A
A

SHAH ALAM - Luluh jiwa, semuanya hilang dalam sekelip mata.

Itulah perasaan yang dialami ramai mangsa banjir di Selangor apabila melihat keadaan terkini selepas berdepan dengan banjir luar biasa yang melanda sejak Sabtu.

Bagi banyak keluarga di negeri ini, musibah itu bukan sekadar menghanyutkan peralatan rumah tetapi rumah yang didiami dan kenderaan yang dipandu.

Lebih menyedihkan, apabila ada kalangan mereka hanya dapat melihat tapak rumah didiami, satu persatu bahagian dan barang rumah dihanyutkan ketika banjir.

Antaranya pengguna laman Facebook dikenali dengan nama Najib Khadzi memaklumkan rumah ibu saudara kakak iparnya di Hulu Langat hilang dari pandangan.

"Rumah mak saudara kak ipar ku di Hulu Langat...Allah hu akhbar," katanya sambil memuat naik keadaan gambar rumah itu sebelum dan selepas kejadian di laman sosial itu pada Ahad.

Norhashim Kamisan pula memuat naik video pendek memaparkan kerosakan puluhan kenderaan dan rumah di sebuah kampung di Hulu Langat akibat bencana banjir.

"Teruk keadaan kereta-kereta, macam tsunami, dahsyat betul kepala air jangan main-main," katanya dalam video itu sambil disokong rakan yang bersamanya.

Artikel Berkaitan:

Keadaan kereta yang dihanyutkan banjir di Hulu Langat.
Keadaan kereta yang dihanyutkan banjir di Hulu Langat.

Mohd Yusof Abdullah 35, dari kampung sama pula sedih melihat beberapa bumbung atap zink dan kayu lantai rumahnya beralih dalam 200 meter dari kedudukan asal.

Walaupun taksiran kerugian masih belum dapat dinilai namun ramai percaya bencana banjir kali ini adalah yang terburuk dengan anggaran kerugian jutaan ringgit.

Ribuan rumah hanyut dan kenderaan rosak dan musnah termasuk kenderaan berat tersadai di lebuh raya kerana dibawa arus deras ketika berada di atas jalan.

Di Kuala Lumpur, pelakon, Wan Hafizol Wan Omar atau lebih dikenali sebagai Fizo Omar turut berkongsi pengalaman terkandas di Lebuh Raya Karak pada Sabtu.

Pelakon terkenal itu terkandas di lebuh raya berkenaan sekitar jam 11.30 malam pada Sabtu sebelum selamat tiba di Kuala Lumpur pada jam 3 pagi pada Ahad.

Kenderaan berat tersadai selepas dibawa arus deras di Lebuhraya Karak.
Kenderaan berat tersadai selepas dibawa arus deras di Lebuhraya Karak.

"Terima kasih kepada semua semalam yang bersama buka jalan (emergency divider) masuk ke opposite lane (laluan bertentangan) dan 'gamble' juga menghala ke KL.

"Sepanjang jalan di lebuh raya tanah runtuh dan pokok tumbang semua bersepah di Lebuh Raya Karak tu, masya-Allah.

"Ramai mangsa terkandas dan terpaksa keluar dari kereta dan bas untuk mencari tempat selamat takut tanah runtuh lagi dan air naik mendadak," katanya dalam catatan di Facebooknya pada Ahad.

Katanya, pengguna lebuh raya berkenaan dilihat tiada arah tuju dalam keadaan gelap gelita termasuk bayi dan warga emas.

"I cant help it!! Seriously sedih giler tengok," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!