KKM akan tempatkan pasukan perubatan di PPS

Ismail Sabri ketika sidang media selepas mesyuarat khas di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, di sini pada Ahad.
Ismail Sabri ketika sidang media selepas mesyuarat khas di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, di sini pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju untuk menempatkan pasukan perubatan di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk memastikan mangsa-mangsa banjir dirawat dan dijaga dengan baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian setelah satu mesyuarat khas diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang di sini, pada Ahad setelah melawat beberapa buah PPS di Selangor.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut dan bersetuju untuk menyediakan kumpulan perubatan, ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa-mangsa banjir di PPS.

"Semua ini akan disediakan oleh KKM dan yang penting, mereka juga akan menjalankan ujian saringan menerusi ujian RTK-Antigen di setiap PPS untuk memastikan semua mangsa yang berpindah selamat daripada jangkitan Covid-19.

"Bagaimanapun, keputusan untuk menempatkan pasukan tersebut tertakluk kepada KKM terutamanya di PPS yang besar," katanya ketika sidang media selepas mesyuarat khas di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan pihaknya komited untuk menyelesaikan isu ketiadaan makanan di PPS di Selangor.

Ujarnya, sarapan pagi untuk mangsa-mangsa banjir di PPS akan disediakan oleh kerajaan Selangor dan mulai makan tengah hari hingga makan malam pula oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tambahnya, JKM juga akan menyediakan tempat tidur kubikel dilengkapi dengan selimut, tilam dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga isu tandas, mereka hanya menggunakan tandas sekolah, namun ia tidak mencukupi kerana pelajar sekolah tidak seramai mangsa yang berpindah ke sana akibat banjir.

"Jadi, kita bersetuju untuk menyediakan tandas mudah alih dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta untuk mencuci tandas-tandas tersebut kerana disebabkan ramai orang dan cuaca hujan, kita perlu jaga kebersihan.

"Kita juga meminta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membersihkan longkang-longkang yang menyebabkan aliran air tersekat dan punca banjir lambat surut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!