Mohd Azhar Presiden baharu PAFA
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Daerah Hilir Perak, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dipilih sebagai Presiden Bola Sepak Perak (PAFA) yang baharu.
Mohd Azhar menang tanpa bertanding jawatan tersebut selepas dipersetujui sebulat suara melalui Kongres Luar Biasa PAFA yang dianjurkan 14 ahli gabungan PAFA di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Jawatan Presiden PAFA tidak diisi sejak 21 Januari lalu selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengosongkan jawatan berkenaan.
Pada majlis itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Sham Mat Sahat turut dipilih sebagai Timbalan Presiden PAFA yang baharu.
Pencalonan Mohd Azhar dan Sham dibuat oleh 13 ahli gabungan PAFA pada 17 Disember lalu dan dipersetujui kesemua mereka.
Mohd Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong berkata, fokus utama selepas mengambil alih jawatan itu adalah beliau akan memfokus pada usaha menyusun atur strategi PAFA dalam membangunkan bola sepak Perak.
Menurut beliau, dengan struktur organisasi PAFA yang lengkap, kemelut yang melanda persatuan itu dapat diselesaikan.
"Kita buang yang keruh, ambil yang jernih. Kita lihat masa depan pembangunan bola sepak negeri Perak, mungkin yang lepas kita tercicir disebabkan pelbagai kemelut seperti penukaran beberapa kali presiden dan timbalan.
"Kini, kita dapat padukan seluruh tenaga dan pemikiran untuk kita bangunkan sukan bola sepak negeri Perak di semua peringkat sama ada di daerah dan di negeri," katanya kepada pemberita selepas Kongres Luar Biasa PAFA di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Pada kongres itu, sebanyak 14 daripada 18 ahli gabungan PAFA yang hadir turut dilantik untuk mengisi beberapa kekosongan jawatan.
Antaranya, jawatan Setiausaha Kehormat PAFA diisi oleh Tajul Hasnan Omar manakala Maslin Sham Razman dilantik sebagai Bendahari Kehormat PAFA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!