Akta wakaf sedang dirangka: Mujahid
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang merangka akta wakaf bagi mengawal selia aktiviti wakaf di peringkat pusat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Mujahid berkata akta tersebut kini masih di peringkat penggubalan penasihat undang-undang di Jakim.
"Setelah kita melihat perkembangan aktiviti wakaf yang begitu pesat, maka kita perlukan satu akta untuk mengendalikannya (aktiviti wakaf) daripada diseleweng.
"Kita harap, dapat jayakan (bentangkan di Parlimen) dalam waktu terdekat, tetapi mungkin bukan tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Wakaf Pendidikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Perjanjian bersama lima institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, hari ini.
Perjanjian itu membolehkan IPT berkenaan menjadi mutawalli untuk membolehkan mereka melaksanakan kutipan wakaf bagi manfaat institusi masing-masing.
Mujahid berkata pihaknya juga akan mendapatkan pandangan daripada Peguam Negara bagi membangunkan akta wakaf tersebut.
"Jika diterima, akta ini akan terpakai di peringkat federal sahaja dan ia boleh dijadikan model dan rujukan bagi negeri lain supaya institusi wakaf akan menjadi lebih mantap," katanya.
Mengulas mengenai wakaf pendidikan yang dilancarkan, Mujahid berharap ia dapat memberi manfaat kepada IPT terutama bagi menampung aktiviti akademik dan pembangunan fizikal.
Lima perintis IPT yang diberikan kelulusan melaksanakan aktiviti wakaf adalah Universiti Malaya, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Kolej Poly-Tech Mara dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!