Kek lumpur makanan penduduk Haiti
PORT-AU-PRINCE-HAITI. Kesempitan hidup rakyat di negara Haiti memaksa mereka memilih lumpur sebagai sumber makanannya.
Haiti adalah negara paling miskin malah mengalami kekurangan sumber makanan susulan bencana gempa bumi besar berlaku pada 2010.
Menerusi Press TV, rakyatnya terlalu miskin hingga memaksa mereka makan kek yang diperbuat dari lumpur kering untuk mengalas perut bagi meneruskan hidup.
"Saya makan lumpur kerana tiada duit untuk membeli beras. Harga beras mahal.
"Lumpur ini juga kami gunakan untuk buat pinggan, rantai, sabun, krim dan serbuk bedak," kata seorang warga Haiti yang ditemu ramah Press TV.
Menurut seorang penduduk, kek lumpur juga sering dijadikan ubat dipercayai mengubati pelbagai jenis penyakit.
Laporan Program Makanan Sedunia (WFP) pada 2013 menyatakan kek lumpur berkenaan dicampur dengan beberapa mineral seperti garam dan air, dimakan penduduk tempatan.
"Mereka memakannya seperti anda makan roti, bagi mereka ia sama sahaja," Lesly Guillaume jurucakap WHP Haiti.
Menerusi video yang dimuat naik di Twitter Press TV, penduduk perlu campur lumpur dengan garam, air sebelum dijemur di tengah panas dan menjamahnya.
Sehingga kini, video durasi dua minit 20 saat itu berjaya meraih lebih 10 juta tontonan dari netizen. - Press TV
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!