Naik bumbung pun tak selamat: Mangsa banjir
KUANTAN - Berada di bumbung disangkakan sudah cukup tinggi, namun ia ternyata tetap tidak selamat buat dua beranak yang terperangkap banjir di Kampung Batu Sawar, Bukit Kuin di sini.
Sahadan Ibrahim, 54, berkata dia, dan anaknya, Fikri, 21, membuat keputusan untuk memanjat bumbung rumah kongsi dihuni mereka apabila banjir mula melanda pada 11 malam semalam sebelum meningkat secara mendadak pada 2 petang tadi.
"Bagaimanapun, paras air semakin menghampiri kami menyebabkan kami mula berfikir sama ada mahu terus bertahan di atas bumbung....selepas berbincang, kami nekad untuk berenang ke arah rumah dua tingkat yang terletak kira-kira 50 meter.
"Syukur kami selamat walaupun arus deras dan dapat bertahan di bumbung rumah itu sehingga diselamatkan seorang penduduk kampung yang menaiki bot fiber," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Jambatan Sungai Riau, Bukit Kuin hari ini.
Sahadan yang bekerja sebagai tukang kimpal memberitahu mereka pada awalnya berhasrat 'mahu bertahan' di rumah kerana beranggapan banjir tahun ini tidak terlalu teruk, namun sangkaan itu meleset sama sekali.
Banjir kali ini, menurut Sahadan adalah yang paling teruk pernah dialaminya sejak mula menetap di Bukit Kuin lima tahun lepas.
"Air naik dengan cepat dan walaupun sudah meletakkan barangan penting di bahagian tinggi, namun akhirnya semuanya tidak dapat diselamatkan kerana kami tidak sempat mencapainya (semasa mahu ke bumbung) kerana fikiran semasa itu hanya mahu menyelamatkan diri," katanya.
Sementara itu, Sulaiman Roslan, 25, berkata dia bergegas mencari bapa mentuanya selepas menerima panggilan daripada Sahadan pagi ini memaklumkan mereka mahu memanjat bumbung bagi menyelamatkan diri.
Sulaiman berkata, setibanya di Bukit Kuin, dia agak buntu bagaimana mahu ke kampung tersebut kerana laluan masuk sudah ditenggelami air, namun ada penduduk kampung menyediakan perkhidmatan sewa bot untuk mereka yang mahu ke seberang.
"Sedang berkira-kira apa yang hendak dilakukan, saya melihat bot dinaiki bapa mentua dan adik ipar menghampiri tempat kami berkumpul. Alhamdulillah semuanya selamat walaupun mereka tinggal sehelai sepinggang," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!