Lapan unit kediaman di Flat Sri Johor terbakar
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Lapan rumah di tingkat empat Blok 31, Perumahan Awam Sri Johor, Cheras di sini terlibat dalam kebakaran malam ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, kebakaran berlaku pada kira-kira jam 9.20 malam dan operasi pemadaman sedang dijalankan.
Menurutnya kebakaran dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat.
"Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Menurut jurucakap bomba, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan melibatkan penghuni lapan unit kediaman tersebut.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.17 malam dan seramai 35 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Keramat dan BBP Cheras digegaskan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran memusnahkan 100 peratus keseluruhan tingkat empat itu. Operasi pemadaman menggunakan teknik ‘water tower’ jentera khas Aerial Ladder Platform (ALP) dan Turn Table Ladder (TTL)," katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada kira-kira 11.30 malam.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim turut melawat lokasi kebakaran itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!