SAR dua lelaki Myanmar dikhuatiri lemas masuk 32 jam
PORT DICKSON - Dua lelaki warga negara Myanmar yang dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Teluk Kemang, di sini masih belum ditemui selepas 32 jam operasi mencari dan menyelamat ( SAR) dijalankan.
Kedua-dua mangsa itu telah dikenal pasti sebagai Biak Lian, 38 tahun dan Van Lian Cung berusia 26 tahun merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd Kamal Mohd Timar berkata, seramai 24 anggota Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang terlibat dalam SAR sejak Sabtu.
"Jumlah keseluruhan anggota penyelamat adalah seramai 57 orang daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Maritim dan Polis.
"Setakat ini kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan dipercayai sudah di bawa arus deras serta ombak besar menyukarkan pencarian namun kami sedang berusaha sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut beliau, mangsa hilang sudah lebih 32 jam sejak dilaporkan hilang pada jam 1.09 petang Sabtu.
"Pencarian akan bermula dengan menggunakan pelbagai aset yang ada ada Isnin namun ia bergantung kepada keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
"Justeru, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti riadah di pantai ketika ini kerana keadaan angin monsun timur laut yang agak bergelora," katanya.
Sinar Harian melaporkan dua lelaki dipercayai warga negara Myanmar dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Telok Kemang berhadapan sebuah hotel disini dalam kejadian tengah hari pada Sabtu.
Kerja-kerja mencari dan menyelamat giat dijalankan oleh pasukan khas, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dengan kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!