OIC perlu sedaya upaya cegah ekonomi Afghanistan terus merudum
ISLAMABAD - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu sedaya upaya berusaha untuk mencegah ekonomi Afghanistan terus merudum ketika krisis kemanusiaan yang semakin buruk dan lebih AS$9 bilion aset negara ini dibekukan Amerika Syarikat (AS).
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata demikian ketika menggariskan lima syor pada Sesi Luar Biasa ke-17 Majlis Menteri-Menteri Luar OIC di sini, pada Ahad.
Menurutnya, dengan menangani isu itu ia sekali gus dapat memberi manfaat kepada rakyat Afghanistan.
“Dalam hal ini, OIC harus lakukan sedaya upaya untuk tangani dan selesaikan isu lebih AS$9 bilion rizab yang sedang dibekukan. Ia bukan untuk Taliban, ia untuk rakyat Afghanistan,” katanya.
Menurut laporan, AS membekukan lebih AS$9 bilion rizab Afghanistan susulan Taliban mengambil alih Kabul pada Ogos selepas tentera Amerika berundur.
Saifuddin memberitahu, keselamatan, hak asasi manusia dan kesejahteraan rakyat Afghanistan perlu menjadi keutamaan serta dilindungi.
Sementara itu, jelas Saifuddin, Malaysia turut menggesa OIC merapatkan jurang tindak balas kemanusiaan antarabangsa terhadap Afghanistan dan memperkasa Pejabat OIC di Kabul untuk mengukuhkan usaha kemanusiaan.
"Kami juga menyokong kenyataan Menteri Luar Pakistan untuk mewujudkan sistem atau mekanisme untuk mewujudkan hab bantuan kemanusiaan bagi rakyat Afghanistan," katanya.
Saifuddin memberitahu, Malaysia juga menyambut baik keputusan daripada persidangan ikrar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini pada September tahun ini, menyaksikan masyarakat antarabangsa berikrar bantuan kemanusiaan lebih US$1.2 bilion, Malaysia menyumbang AS$100,000.
Beliau berkata, kerajaan Malaysia komited untuk menyediakan bantuan dari segi teknikal untuk Afghanistan melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan berharap dapat terus bekerjasama dengan negara anggota OIC yang lain.
Sejak 2002, lebih 1,800 pegawai Afghanistan dan 1,000 guru telah menerima latihan di Malaysia manakala ratusan penuntut menyambung pengajian di universiti-universiti di Malaysia.
“Kami juga menggalakkan perniagaan Malaysia mencari peluang di Afghanistan dan pada masa sama dua syarikat Malaysia sudah berada di negara ini untuk menjalankan projek pembangunan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga mahu memainkan peranannya melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mengalu-alukan kerjasama dengan NGO dari negara anggota OIC untuk usaha kemanusiaan.
Dalam tempoh sebulan, jelas beliau NGO Malaysia sudah berada di Kabul dan Global Peace Mission telah pun membuka pejabat di Kabul bagi memudahkan usaha kemanusiaan.
“Untuk komitmen jangka panjang, Global Peace Mission juga akan menubuhkan Dana Wakaf Global. Dana Wakaf Global akan menggunakan kepakarannya dalam platform kewangan Islam,” katanya.
Sesi Luar Biasa itu dihoskan Pakistan dan dipengerusikan Menteri Luar Shah Mahmood Qureshi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!