SOP diubah jika ada ‘pembelinya’

Gambar Hiasan. Sumber: Flickr
Gambar Hiasan. Sumber: Flickr
A
A
A

PADA 30 November lalu, pasukan bola sepak Kuala Lumpur City (KL City) mencatat kemenangan keempat dalam sejarah penubuhan kelab bola sepak itu apabila memenangi Piala Malaysia setelah 32 tahun yang lepas.

Perlawanan akhir itu berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kehadiran 20,000 penonton bagi kedua dua pasukan dengan jualan tiket bermula RM50 ringgit sehingga RM150 ringgit.

Persoalannya, dengan kehadiran penonton yang terlalu padat antara 1 hingga 3 jam itu, adakah prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial dapat dikawal dengan jayanya?

Walau bagaimanapun, setelah dua minggu kita masih belum mendengar apa-apa berita mengenai kluster 'final bola sepak'.

Terima kasih kepada rakyat Malaysia bersatu menjayakan misi dua dos suntikkan dan mengikut SOP.

Dari situ, kita boleh menilai bahawa untuk berada di suatu kawasan tanpa penjarakan sosial dalam tempoh yang singkat tidak akan membawa kemudaratan kepada individu contoh seperti di kedai makan, panggung wayang mahu pun padang bola.

Justeru, kenapa kita masih ketinggalan dengan SOP penjarakan 1 meter di masjid dan surau yang tidak membenarkan lebih ramai jemaah beribadat dalam satu-satu masa?

Mungkin kerana institusi rumah ibadat itu tidak memberikan keuntungan kepada sesiapa seperti perlawanan bola sepak, pusat hiburan atau syarikat penerbangan?

Artikel Berkaitan:

Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan, sekiranya perkara membabitkan institusi masjid ini, ia memerlukan pendapat orang ramai atau rakyat.

Mengulas mengenai perkara terbabit, Mohd Asri atau lebih dikenali Dr Maza memuat naik satu video di akaun Twitter (@realDrMAZA) menjelaskan isu saf di masjid.

“Saya sendiri terlibat dalam perbincangan apabila mencadangkan supaya dirapatkan semula saf di masjid.

Tetapi nampaknya apabila setiap kali sampai kepada isu merapatkan saf di masjid ini.

“Sentiasalah dibangkitkan balik masalah jangkitan, varian baharu, pengudaraan dan pelbagai lagi,” ujarnya dalam temu ramah itu.

Jika kebimbangan itu menimbulkan isu oleh pihak kesihatan dan mufti, kita boleh lihat langkah berani kerajaan Arab Saudi yang melupuskan penjarakan sosial di Makkah.

Kemungkinan juga mereka terpaksa melupuskan SOP kerana ingin menarik lebih ramai lagi ke tanah suci.

Dengan kadar jangkitan Covid-19 hanya 53 kes seminggu di seluruh Arab Saudi, statistik itu menunjukkan tiada permasalahan yang besar berlaku apabila penjarakan sosial ditarik semula.

Penulis berpendapat, kesemua individu harus peka mengenai kesihatan masing-masing jika ingin berada di tempat awam seperti di rumah ibadat.

Walaupun institusi rumah ibadat tidak mendatangkan untung kepada mana-mana pihak kerana tiada 'pembelinya' tetapi ia menunjukkan satu kejayaan besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap vaksin yang kita peroleh.

Sekatan

Isu perayaan atau sambutan dari sudut agama yang dianuti oleh rakyat Malaysia ini juga terkena tempias kepada penganut agama lain apabila isu perarakan sempena Thaipusam menjadi perbahasan di sidang parlimen yang berlangsung bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelutong, RSN Rayer pernah mengemukakan usul untuk membenarkan perarakan kavadi bagi Thaipusam dan chingay sempena Tahun Baharu Cina pada tahun depan.

Beliau juga membidas kenyataan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah yang memaklumkan mengenai larangan itu.

Penulis berharap pihak kerajaan boleh menilai semula SOP rumah ibadat kerana masih ramai orang yang keliru dan pendam kemarahan apabila tidak dapat menyempurnakan ritual keagamaan dengan sempurna seperti sebelum ini.

Mengenai hal itu juga ada yang mengkritik apabila sesetengah masjid utama hanya membenarkan individu untuk solat dalam masjid dengan hanya menggunakan sejadah saiz besar.

Seandainya untuk ke rumah ibadat atau meraikan perayaan keagamaan ada bayarannya, sudah lama SOP itu dihapuskan seiring dengan menonton perlawanan bola sepak di stadium.

* Ariff Fazrul Basuri ialah Kurator Media Sosial Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!