Ibu jadi guru pertama didik anak bebas dari rasuah
SHAH ALAM - Ibu sepatutnya menjadi guru pertama yang mendidik dan membentuk anak-anak mereka supaya menjadi insan bebas daripada amalan rasuah.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, ini disebabkan ibu merupakan insan paling rapat dan sentiasa bersama anak-anak sejak dari kecil.
Menurut beliau, ibu seharusnya memberikan contoh yang baik dengan mendidik anak-anak supaya sentiasa takut melakukan rasuah dan memastikan anak-anak mereka menjauhi perbuatan tersebut.
“Selain ibu bapa di rumah, guru-guru di sekolah juga memainkan peranan dalam memastikan pelajar mempunyai kesedaran, tidak memberi atau menerima rasuah walaupun sekecil-kecil sekali pun.
“Anak-anak harus diberi pendedahan terhadap keburukan perbuatan rasuah. Ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang,” tegasnya kepada kru Rasuah Busters, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, pelbagai kempen dan aktiviti boleh diadakan di sekolah untuk memberi pendedahan kepada pelajar, contohnya kempen antirasuah atau jemputan dari mana-mana pihak untuk memberi taklimat mengenai bahaya rasuah.
“Saya sering menekankan bahawa ikatan ibu dan anak adalah sangat kuat sejak kecil. Maka ibu adalah insan paling tepat untuk memberi didikan awal sejak anak-anak kecil untuk menjadi insan bertanggungjawab.
“Sekiranya rantaian ini dapat dilakukan dengan baik, saya yakin budaya rasuah akan mati dan tidak akan terus menerus membarah dalam kalangan masyarakat.
“Untuk mengubah seseorang dewasa yang telah melakukan rasuah bertahun-tahun, ia agak sulit kerana mereka sudah sebati dengan perbuatan tersebut dan kehidupan mereka,” ujarnya.
Tambah Muhammad Nasir, mesej antirasuah juga harus disebarkan oleh pihak-pihak berkuasa supaya rakyat Malaysia akan mempunyai kesedaran sejak dari zaman kanak-kanak.
Selain ibu bapa, guru-guru di sekolah juga memainkan peranan dalam memastikan pelajar mempunyai kesedaran, tidak memberi atau menerima rasuah walaupun sekecil-kecil mana sekali pun.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!