‘Gunakanlah segala aset ’
SHAH ALAM - Orang ramai mendesak kerajaan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) supaya bertindak lebih pantas dalam menyalurkan bantuan termasuk menyalurkan makanan kepada mangsa banjir dengan menggunakan segala aset.
Mereka luahkan beberapa permasalahan yang dihadapi antaranya soal kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan, selimut serta keperluan asas lain.
Peniaga, Muhammad Hafizul Sidi, 27 berkata, kerajaan perlu peka terhadap pengagihan bantuan bekalan makanan kepada rakyat apabila berlakunya bencana banjir teruk sehingga menyebabkan mereka terkandas.
“Dengan adanya bekalan makanan, mangsa banjir boleh bertahan sementara menunggu bot penyelamat datang membawa mereka ke pusat perlindungan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Selain itu, pekerja swasta, Jamirul Hafiq Izaidi Jalaludin, 27 berkata, prestasi kecekapan bot-bot penyelamat terutamanya dalam musim banjir perlu dipertingkatkan.
“Pantau media sosial, cari mangsa banjir dan kalau boleh bantuan makanan dan pengangkutan itu perlu segera sampai ke tempat mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Menurut operator, Mohamad Zarif Mohd Zamri, 27, kerajaan seharusnya memastikan pusat pemindahan untuk mangsa banjir tidak terlalu sesak bagi mematuhi prosedur operasi standard.
“Kalau pusat pemindahan sesak dengan mangsa banjir, takut akan menyebabkan berlakunya penularan Covid -19 sehingga menyebabkan wujudnya kluster baru,” menurutnya.
Suri rumah, Sakinah Aminah Husin, 60 berkata, kerajaan disaran menyediakan kit ujian Covid-19 kepada mangsa banjir supaya mereka melakukan ujian saringan terlebih dahulu sebelum ditempatkan bersama mangsa yang lain.
“Ianya penting agar pencegahan awal dapat dilakukan. Seeloknya, jika kita tahu mereka positif, kita boleh mengasingkan atau kuarantinkan mereka di ruangan yang lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, peniaga, Nik Muhammad Farihan Nik Mohd Anuar, 27 berkata, kerajaan perlu berusaha mengenal pasti punca dan menyediakan peralatan yang cukup bagi membantu mangsa-mangsa banjir dalam menghadapi bencana tersebut.
“Buat masa sekarang, kerajaan perlu mengambil data dan pengalaman dari tempat-tempat biasa berlaku banjir dan mengambil tahu cara-cara menghadapi situasi banjir di negara ini,” katanya.
Selain itu juga, Guru, Siti Zulaikha Ismail, 30 berkata, kerajaan juga perlu fikirkan kepentingan rakyat yang dalam kesusahan menghadapi bencana berbanding mendahulukan agenda kepentingan parti.
“Pada saat yang genting dan semua orang dalam kesusahan, pihak berwajib dan pihak bertanggungjwab seharusnya mengetepikan perbezaan politik dan fokus kepada memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir,” jelasnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, penghantaran makanan pada Sabtu agak lewat kerana banyak jalan di Selangor ditutup akibat ditenggelami air berikutan taburan hujan yang tinggi.
Beliau berkata, laporan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mendapati taburan hujan yang turun pada sepanjang Sabtu bersamaan dengan jumlah hujan selama sebulan.
“Sebab itulah berlaku tiba-tiba seperti itu (taburan hujan banyak), maka berlakulah kekalutan kerana tidak ada persediaan untuk berpindah rumah sehingga ada yang duduk di rumah untuk diambil oleh agensi-agensi terlibat akibat air yang naik dengan cepat.
“Makanan tidak dapat dihantar pada Sabtu kerana banyak jalan ditutup, ditenggelami air, kalau ada ada pun atas jalan raya dipenuhi dengan kenderaan yang tersangkut dan tidak memungkinkan untuk lalu hantar makanan.
“Kalau di kawasan yang tidak boleh dilalui, kita akan gunakan helikopter untuk menghantar makanan kerana bagi kita, hari ini isu ini tidak sepatutnya timbul kerana semua yang berlaku semalam kita anggap selesai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!