USIM aktifkan bilik gerakan banjir

Sukarelawan Bantuan Bencana Banjir USIM menyiapkan kayak dan alatan menyelamat untuk diserahkan kepada wakil penduduk taman berdekatan yang ditelanggami air.
Sukarelawan Bantuan Bencana Banjir USIM menyiapkan kayak dan alatan menyelamat untuk diserahkan kepada wakil penduduk taman berdekatan yang ditelanggami air.
A
A
A

NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil langkah segera dengan mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana Banjir, pada Ahad bagi menggerakkan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas, terutama yang berada di sekitar Labu Lanjut, Salak Tinggi dan Sepang, Selangor.

Pendaftar USIM, Datuk Muhammad Haizuan Rozali berkata, bagi memastikan operasi Bilik Gerakan ini berfokus dan mencapai objektif, tiga komponen utama diberi perhatian iaitu keurusetian, keperihatinan dan operasi.

"Kita telah mula mengumpul maklumat kakitangan dan pelajar USIM yang terjejas dengan bencana banjir secara dalam talian bagi tujuan koordinasi bantuan.

"Selain itu,pusat pengumpulan sehenti sumbangan banjir turut disediakan di Pusat Sukan USIM bagi memudahkan penerimaan barangan sumbangan orang ramai. Antara barangan sumbangan yang disasarkan untuk dikumpul antaranya, makanan 'ready to eat', kit kebersihan diri, kit keperluan wanita, air mineral atau minuman, keperluan bayi, selimut dan toto," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, bantuan awal mula digerakkan seawal tengah hari Ahad dengan agihan makanan keperluan kepada mereka yang terkandas di kediaman masing-masing.

"Bagi kakitangan USIM yang kediaman mereka terjejas terus dengan banjir disediakan penginapan alternatif di kolej-kolej kediaman berdekatan kampus.

"Badan Kebajikan Kakitangan USIM turut menyalurkan bantuan segera RM200 kepada kakitangan yang terkesan dengan bencana ini," katanya.

Ujarnya, pada masa yang sama, bagi membantu hampir 300 keluarga yang masih terkandas di sebuah taman perumahan di Labu Lanjut, USIM turut menyerahkan pinjaman kayak dan alatan bantuan menyelamat kepada wakil penduduk pada Ahad petang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pusat Wakaf dan Zakat USIM turut mengambil pendekatan menubuhkan Tabung USIM Prihatin bagi mengumpul sumbangan kepada warga USIM yang terkesan dengan banjir melalui portal Jom Infaq dengan menyasarkan kutipan sebanyak RM130,000.

Bagaimanapun, sehingga jam 11 malam Ahad, sumbangan diterima daripada masyarakat yang prihatin amat menggalakkan apabila RM47,629 berjaya dikumpul kurang 24 jam sejak ia dilancarkan.

Muhammad Haizuan berkata, tidak hanya memfokuskan bantuan semasa banjir, USIM turut mula menyiapkan pasukan sukarelawannya terdiri daripada kakitangan dan pelajarnya untuk bantuan pasca banjir khususnya operasi pembersihan kediaman.

"Pengurusan universiti amat prihatin dan bersimpati dengan mangsa banjir khususnya kepada kakitangan dan pelajar yang terlibat serta menasihatkan semua pihak untuk sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!