MPM hargai keprihatinan Pahang
MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menerima kembali wang pendahuluan berjumlah RM480,000 yang digunakan untuk penganjuran Paralimpiad Pahang (kini dikenali Para SUKMA) 2012 daripada kerajaan negeri Pahang pada 16 Disember lalu.
Presidennya, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin amat menghargai keprihatinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan bekas Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan atas usaha memulangkan semula wang itu kepada MPM.
"Kesemua pihak tersebut telah memainkan peranan masing-masing untuk menentukan wang tersebut dikembalikan dengan segera kepada MPM untuk pembangunan sukan masyarakat orang kurang upaya (OKU).
"MPM tidak berputus asa dan meneruskan initiatif mengikut prosedur teratur untuk menuntut kembali wang tersebut kerana kami yakin dengan pihak kerajaan yang sentiasa amalkan tadbir urus yang baik dan prihatin pada kehendak rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Megat Shahriman berkata, Lembaga Eksekutif MPM yang diketuainya telah berusaha secara terancang untuk menuntut kembali wang tersebut mengikut prosedur dan tindakan susulan konsisten sejak menjadi Presiden badan induk sukan golongan OKU itu pada 14 Disember 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!