Mangsa banjir dipindahkan di Kelantan menurun
KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan menurun kepada 3,806 berbanding 4,346 orang pada petang Ahad.
Penurunan itu dicatatkan menerusi aplikasi InfoBencana JKM Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada jam 8.14 pagi.
Mangsa lelaki yang masih berada di PPS adalah seramai 1,200 orang dan perempuan seramai 1,208 orang manakala kanak-kanak 1,259 kanak-kanak serta 129 bayi.
Selainnya adalah 163 warga emas dan 35 orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, menurut portal rasmi e-banjir laman Negeri Kelantan yang dikemaskini pada jam 7.10 pagi Ahad, lima sungai di negeri berkenaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Tangga Krai, Jambatan Guillemard, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Semerak di Pasir Puteh.
Selain itu, dua jalan di Machang dan Tanah Merah ditutup kepada semua kenderaan iaitu di kilometer 11.5 Kampung Kuala Hau-Temangan, kilometer 6 Jalan Machang - Pangkal Meleret, Wakaf Bata, Jalan Tanah Merah-Kusian-Kampung Ipoh serta Jalan ke loji air Bukit Remeh, Tanah Merah.
Tiga jalan lain iaitu Jalan Jirat di Kuala Krai, Jalan Kampung Pahi dan Kampung Kuala Nal pula diletakkan papan tanda amaran bagi memastikan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan sentiasa berjaga-jaga.
Keadaan paras air di Sungai Kusial di Tanah Merah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!