Banjir: Mayat mangsa hanyut bersama kereta dijumpai
KUANTAN - Mayat seorang operator kilang yang dikhuariti lemas ketika melintas arus deras banjir di Jalan Pintasan Kampung Cempaka-Sungai Soi di sini, sudah ditemui pada jam 7.15 pagi Isnin.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, mangsa Mohd Helmi Nazlan, 34, dijumpai pada jarak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.
"Jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dihantar ke hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tindakan lanjut," katanya.
Kejadian dikatakan bermula dua hari lalu apabila mangsa bersama rakannya terkandas dan dihanyutkan oleh arus deras ketika cuba mengharungi banjir dengan kereta Proton Exora dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Pahang.
Rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan memecahkan cermin belakang kereta tersebut.
Operasi yang diketuai oleh Ketua Balai, Timbalan Penguasa Bomba Kamerul Bieza Mohd Kasim tamat pada jam 7.31 pagi susulan penemuan mayat mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!