300 penduduk Tersang panik, air Sungai Golok melimpah

Azhari (kiri) bersama anggotanya membantu penduduk di Kampung Tersang berpindah ke kawasan selamat selepas kampung tersebut berubah menjadi 'pulau' apabila air Sungai Golok melimpah sejak malam Ahad.
Azhari (kiri) bersama anggotanya membantu penduduk di Kampung Tersang berpindah ke kawasan selamat selepas kampung tersebut berubah menjadi 'pulau' apabila air Sungai Golok melimpah sejak malam Ahad.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seramai 300 penduduk di Kampung Tersang, di sini panik apabila air Sungai Golok melimpah dan menenggelamkan laluan utama ke kawasan kediaman mereka dalam kejadian banjir yang berlaku sejak Ahad malam.

Seorang penduduk, Norihan Mohd Nor, 35, berkata, dia terkejut melihat keadaan banjir yang berlaku apabila kediaman mereka berubah seakan-akan 'pulau' buat kali pertama dalam kejadian banjir pada kali ini.

"Banjir memang dah biasa di sini, tetapi apabila air Sungai Golok yang melimpah sehingga jalan utama yang tinggi pun tenggelam, keadaan ini agak menakutkan.

"Kebiasaannya walaupun air sedalam 3 meter di depan rumah, kami tidak berpindah kerana rumah tinggi. Tetapi kali ini apabila melihat jalan sudah tenggelam kami buat keputusan untuk berpindah ke rumah saudara mara di Pasir Mas," katanya ketika ditemui semasa tinjauan bersama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuatan di sini pada Isnin.

Menurutnya, melihat keadaan air yang semakin naik walaupun cuaca cerah, berpindah adalah keputusan terbaik.

Pendapat sama turut disuarakan Mustafa Hassan, 71, yang mengakui sebagai orang lama yang menetap di situ situasi banjir pada kali ini agak luar biasa.

"Saya sudah berpindah sejak Ahad kerana bimbang akan menyusahkan orang lain jika air naik secara mendadak.

"Ini kali ketiga kami hadapi banjir untuk tahun ini dan ia merupakan yang terburuk setakat ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Penduduk di Kampung Tersang, Rantau Panjang meredah banjir apabila terputus hubungan buat pertama kalinya dalam kejadian banjir selepas air Sungai Golok melimpah dan menenggelamkan laluan utama ke kawasan kediaman mereka.
Penduduk di Kampung Tersang, Rantau Panjang meredah banjir apabila terputus hubungan buat pertama kalinya dalam kejadian banjir selepas air Sungai Golok melimpah dan menenggelamkan laluan utama ke kawasan kediaman mereka.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati kebanyakan penduduk mula mengambil langkah keluar dari rumah masing-masing untuk berpindah ke tempat selamat.

Kebanyakan mereka terpaksa meredah banjir sedalam 0.3 hingga 0.5 meter dengan menggunakan perahu dan kenderaan pacuan empat roda.

Batalion 7 PGA Kuantan yang diketuai Pegawai Pemerintah Superintendan, Azhari Nusi turut sama membantu penduduk berpindah dengan membawa mereka menaiki pacuan empat roda ke tempat selamat.

Azhari berkata, tujuan asal beliau dan anggota ke kawasan tersebut adalah untuk membuat pemantauan di sempadan negara melibatkan Kelantan dan Thailand.

Menurutnya, apabila melihat situasi penduduk yang memerlukan bantuan pihaknya bersedia menghulurkan bantuan yang diperlukan.

"Keselamatan masyarakat lebih utama, kami pun terkejut melihat kawasan ini berubah menjadi seperti sebuah pulau malah Pos Terusan turut sama tenggelam.

"Bagaimanapun keadaan ini tidak mengganggu kami untuk terus berkhidmat menjaga keselamatan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!