Polis tumpas sindiket jual bayi RM12,000
MELAKA - Polis berjaya menyelamatkan tiga bayi dan seorang kanak-kanak berusia lima tahun dipercayai untuk dijual oleh sindiket memperdagangkan bayi kepada keluarga angkat.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohamad Ali berkata, kejayaan tersebuat sekali gus menumpaskan kegiatan tidak bermoral itu yang didalangi seorang wanita dikenali sebagai Nana dan menahan 14 suspek membabitkan empat lelaki dan enam wanita warga tempatan serta empat wanita warga Indonesia sejak 30 November lalu hingga Ahad lalu.
Menurutnya, sindiket dipercayai akan mencari wanita-wanita yang mengandung anak tidak sah taraf untuk ditempatkan di rumah inap desa (homestay) sebelum menghubungi keluarga angkat yang berminat mendapatkan bayi tersebut.
Beliau berkata, sindiket akan menawarkan bayaran RM12,000 kepada pasangan suami isteri yang terdesak untuk mendapatkan zuriat sebagai bayaran kos bersalin, berpantang dan sebagainya di homestay terbabit.
"Sindiket ini terbongkar selepas kita menerima aduan daripada sepasang suami isteri berusia 40-an berhubung urusan pengambilan anak angkat tanpa memperolehi sebarang dokumen surat beranak dan tidak melalui agensi yang sah.
"Mereka telah menyerahkan bayaran RM12,000 untuk menerima seorang bayi perempuan namun selepas empat bulan kemudian pasangan tersebut masih tidak menerima surat beranak daripada suspek dan telah merujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta polis," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, dalang utama sindiket terbabit yang dikenali sebagai Nana berusia 33 tahun itu telah mengiklankan pemerdagangan bayi melalui media sosial, Instagram dengan nama Mencari Anak Angkat Syurga yang aktif sejak Mac tahun lalu.
"Setakat ini polis berjaya menyelamatkan dua bayi lelaki berusia tiga bulan dan seorang bayi perempuan berusia empat bulan serta seorang kanak-kanak berusia lima tahun.
"Kesemua kanak-kanak ini telah mendapat perintah pelindungan sementara untuk ditempatkan di rumah pelindungan kanak-kanak," katanya.
Jelas beliau, polis masih mengesan seorang wanita berusia 27 tahun yang bertindak sebagai bidan dengan mendapat upah RM1,000 setiap kali bayi dilahirkan selain mengesan tiga lagi bayi dipercayai diuruskan sindiket terbabit.
"Turut ditahan pasangan suami isteri yang membeli bayi itu dan kesemua suspek direman sehingga 27 Disember bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!