Rentak permainan City tak cukup baik
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengkritik prestasi anak-anak buahnya sekalipun berjaya membelasah Newcastle United 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St James Park pada Ahad.
Menurut Guardiola, dia kecewa dengan rentak permainan yang ditampilkan The Citizens khususnya pada babak pertama apabila mereka kerap melakukan kesilapan mudah.
“Bagi saya, aksi pada separuh masa pertama adalah antara persembahan yang paling buruk ditampilkan pasukan pada musim ini. Kami tidak bermain mengikut rentak.
“Pemain saya tidak beraksi sebagaimana yang sepatutnya. Mereka melakukan banyak kesilapan dan sering kehilangan bola sehingga gagal menguasai tempo permainan.
“Kami bernasib baik kerana Newcastle tidak bertahan dengan baik apabila memperoleh gol pertama dan tindakan bijak Joao Cancelo untuk gol kedua,” katanya.
City berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Ruben Dias sebelum Cancelo menggandakan kedudukan apabila rembatan padunya dari jarak 32 meter menerjah gawang Newcastle pada minit ke-27.
Riyad Mahrez meletakkan nama sebagai penjaring apabila berjaya meledak ke-50 dalam kariernya bersama City di pentas EPL menerusi sepakan voli menarik pada minit ke-63.
Raheem Sterling mengesahkan kemenangan bergaya City apabila menyumbang gol keempat The Citizens empat minit sebelum perlawanan berakhir.
Kemenangan kelapan berturut-turut itu menyaksikan City kini kekal di tangga teratas EPL menjelang Krismas buat kali ketiga selepas 2011/2012 dan 2017/2018 yang menyaksikan mereka muncul pada musim tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!