Najib bantu mangsa banjir di Padang Jawa

Najib menyampaikan bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir di Padang Jawa pada Isnin.
Najib menyampaikan bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir di Padang Jawa pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin berkesempatan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Padang Jawa, Klang.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO turut menyalurkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada mangsa bagi meringankan beban mereka.

"Pagi tadi saya di Padang Jawa, Klang bersama mangsa banjir, luangkan masa bersama mereka dan membawa sedikit bantuan, makanan dan keperluan asas untuk semua," katanya di laman Facebook beliau pada Isnin.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan nasib mangsa bencana banjir khususnya di Selangor pada ketika ini adalah lebih buruk apabila berlaku ketika pandemik Covid-19 masih lagi belum reda.

"Bencana ini bertambah dengan pandemik Covid-19 telah melumpuhkan ramai. Banjir datang, air naik cepat. Mereka ada anak-anak kecil. Ada pesakit strok. Ada yang sudah uzur dan berumur.

"Ada yang kurang upaya dan memerlukan pertolongan dari segi pergerakan. Ramai berkongsi dengan saya kesusahan yang mereka hadapi. Teruk banjir kali ini walaupun mula surut di beberapa tempat," katanya.

Beliau berkata, rakyat juga bimbang dan resah dengan keadaan masa depan mereka selepas mengalami kerugian harta benda yang banyak termasuk kerosakan rumah dan kereta.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Malaysia dapat berganding bahu menghulurkan bantuan yang termampu bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang berdepan dugaan besar ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita semua perlu berganding bahu bantu apa yang kita boleh, hulurkan sumbangan tenaga, makanan, dana.

"Kita perlu bantu rakyat Malaysia untuk bangkit semula," katanya di laman sosialnya itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!